Malaysia Berita

Nasib Tan Cheng Hoe Diketahui Bulan Depan

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyatakan bahawa FAM akan bersidang dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) bulan depan bersama-sama dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi membincangkan kedudukan Tan Cheng Hoe selaku pengendali negara.

Dengan spekulasi kuat mengatakan bahawa Tan Cheng Hoe bakal kekal sebagai jurulatih pasukan kebangsaan selepas berjaya membawa Harimau Malaya menjadi naib juara Piala AFF 2018 baru-baru ini.

Kejayaan beliau mara ke final menjadi titik kejayaan beliau dalam penilain prestasi pasukan negara dibawah bimbingan beliau.

“Pandangan semua pihak akan diambil kira (dalam mesyuarat JPPK) kerana kadang-kadang setiap individu ada pendapat masing-masing.

“Saya fikir FAM akan meneliti sepenuhnya persembahan Harimau Malaya dan bukan sahaja melihat kepada kejayaan membawa pasukan ke final Piala AFF.

“Namun, saya percaya kejayaan mara ke final selain falsafah bola sepak baharu yang diterapkan oleh Cheng Hoe kepada pasukan kita, saya lihat ia satu kelebihan untuknya dikekalkan.

“Malah, beliau juga berani dan berjaya mengadunkan kombinasi pemain senior dan muda dengan baik sekali sepanjang saingan AFF itu,” katanya kepada Sukan NSTP.