Luar Negara Berita

Nor Azam Sasar Gelaran Juara Liga Super dan Piala Malaysia

Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih bertekad mahu membawa pulang kejuaraan ke bumi Pahang. Beliau mensasarkan gelaran kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia dalam misi membawa kejayaan bagi pasukan Pahang dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Pemain yang terpalit dengan isu kecederaan sebelum ini berazam untuk kembali membantu skuad Pahang selepas gagal berbuat demikian pada musim lepas. 

Tetapi bagi beliau, kunci untuk mencapai kejayaan tersebut adalah dengan mengekalkan pemain tempatan sedia ada serta mempamerkan permainan yang meyakinkan bagi membuktikan bahawa skuad Tok Gajah mampu untuk menjadi antara pasukan yang digeruni.

“Kami tidak hanya akan mempertahankan Piala FA, dua lagi piala berprestij iaitu Liga Super dan Piala Malaysia turut menjadi misi skuad Pahang untuk dijulang.

“Malah, saya yakin tiada yang mustahil untuk merealisasikan misi itu kerana kami beraksi dengan baik musim ini hingga mencapai sasaran mengucup satu piala.

“Justeru, keserasian dan persefahaman yang dipersembahkan akan dipertingkatkan untuk meletakkan skuad Tok Gajah berada pada prestasi terbaik.

“Saya percaya dengan kemasukan pemain import baharu juga akan membantu memperkasakan pasukan,” katanya.

Beliau yang berumur 23 tahun turut berazam ini menaikkan mutu permainan beliau bersama skuad Pahang serta menyatakan bahawa sokongan daripada penyokong dan jurulatih adalah antara pemangkin motivasi beliau.

“Saya percaya pencapaian lebih baik mampu diraih berdasarkan sokongan pengurusan, jurulatih dan penyokong,” kata pemain berumur 23 tahun itu.