Jualan tiket bagi perlawanan di antara Malaysia dan Thailand bagi aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan mula dijual bermula hari ini melalui dalam talian www.tickethotline.com.my, manakala juala kaunter hanya akan dibuka pada Khamis ini di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perkara ini dijelaskan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam apabila tiket akan dicetak di Bangkok oleh satu syarikat yang dilantik AFF manakaala akan dihantar pada hari Rabu.
“FAM dimaklumkan tiket yang siap dicetak itu hanya akan tiba di Kuala Lumpur pada malam Rabu sekali gus ia hanya boleh mula dijual secara fizikal pada pagi Khamis ini, jika tiada sebarang kelewatan penerimaan tiket itu.
“Bagaimanapun, FAM mengambil inisiatif untuk memudahkan urusan penyokong bagi membeli tiket lebih awal dengan penjualan secara online di www.tickethotline.com.my yang akan mula dibuka esok.
“Penyokong kemudian boleh menebusnya di kaunter penebusan tiket di Bukit Jalil yang akan dibuka bermula Khamis ini hingga hari perlawanan,” katanya.
Kehadiran penyokong pada perlawanan separuh akhir nanti akan bertambah berbanding pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A bertemu Myanmar, Sabtu lalu yang menyaksikan lebih 83,000 orang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.
Stuart juga menyatakan bahawa tiket perlawanan Piala AFF Suzuki kali ini jauh lebih murah berbanding dengan harga tiket pada 2014.
“Jika diimbau semula empat tahun lalu, harga tiket bagi separuh akhir pertama Piala AFF, Malaysia bertemu Vietnam di Stadium Shah Alam ketika itu adalah RM40 bagi tempat duduk terbuka dan RM10 bagi tiket kanak-kanak.
“Biarpun berlaku peningkatan kos memandangkan FAM terpaksa membayar sewa stadium serta kos lain berkaitan pengelolaan perlawanan yang semakin meningkat, FAM memilih untuk menyerap kos tambahan itu supaya ia tidak terlalu membebankan penyokong Harimau Malaya yang akan hadir ke stadium Sabtu ini.
“Justeru harga tiket bagi separuh akhir pertama ditetapkan RM30 bagi tempat duduk terbuka (RM10 lebih murah berbanding 2014) dan RM5 bagi tiket kanak-kanak (RM5 lebih murah berbanding 2014).
“Satu lagi kategori tiket yang diperkenalkan kali ini adalah tiket RM40 bagi tempat duduk grandstand,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.