Piala Malaysia Berita

Irfan Ada Ramuan Tersendiri Untuk Jinakkan Harimau Selatan

Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mahu pemain beliau kekal fokus pada aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 20 Oktober ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos menentang Johor Darul Ta’azim.

Tambah beliau, walaupun JDT mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri, beliau sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menyekat kebangkitan Harimau Selatan.

“Bermain di depan ribuan peminat mereka pastinya memberi sedikit kelebihan kepada skuad JDT, tapi kami sudah merangka strategi dan taktikal tersendiri yang bakal diterapkan kepada pemain dalam perlawanan penting itu.

Beliau mengingatkan juga buat para pemain agar mencari gol awal bagi membolehkan mereka menjarakkan jurang jaringan serta kelebihan gol di tempat lawan.

“Kami tidak sesekali mengamalkan corak bertahan, lagipun berapa lama kita boleh bertahan menahan asakan lawan dalam masa yang panjang itu, sebaliknya strategi menyerang untuk mendapatkan jaringan awal bakal digunakan kerana sedar bekalan satu gol tidak banyak.

“Justeru apa yang kami terapkan kepada pemain ialah perlu tenang dan fokus ketika beraksi serta lebih berdisiplin menutup ruang untuk mematikan jentera lawan bermula di bahagian tengah lagi,” katanya kepada Berita Harian.

Bekas jurulatih Persipura Jayapura itu juga memberitahu motivasi di kalangan pemain-pemainya tinggi dan mereka semakin bersemangat untuk bertemu JDT pada aksi timbal balik nanti.

“Peluang pasukan kami untuk melangkah ke final tetap ada, malah pemain kini makin bersemangat berdasarkan sesi latihan, tapi apa yang kami harapkan pemain tidak melakukan kesilapan mudah untuk elak dihukum,” katanya kepada Berita Harian.