Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaludin mendedahkan pihaknya masih belum ada sebarang perancangan untuk menjadikan PKNP FC sebagai pasukan pembangunan mereka pada musim hadapan.
Katanya, perkara itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan pun dalam mana-mana mesyuarat yang diadakan namun pihaknya sentiasa terbuka terhadap perancangan seperti itu di masa akan datang.
“Setakat ini, perkara ini memang tiada dalam perancangan kami ketika ini, namun perlu tunggu mesyuarat exco yang akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Selepas itu baru kita boleh mengulas lanjut jika ada perkembangan mengenai perkara ini,” katanya kepada Berita Harian.
Di pihak Selangor pula, pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid juga menafikan desas-desus status kelabnya yang akan menjadi pasukan pembangunan iaitu Selangor II namun beliau enggan mengulas lebih lanjut.
Jika status dua pasukan Liga Super itu ditukar sebagai kelab pembangunan, mereka tidak dibenarkan beraksi dalam saingan yang sama dengan pasukan utama sekali gus meninggalkan dua kekosongan slot Liga Super musim hadapan.
Namun, sebarang proses untuk menukar status pasukan kepada kelab pembangunan akan mengambil masa kerana melibatkan penukaran pengurusan, para pemain sedia ada serta sama ada satu pengurusan mampu menguruskan dua buah pasukan terutamanya dari segi faktor kewangan.
Pasukan utama sudah tentu menjadi keutamaan manakala pasukan pembangunan hanya perlu fokus kepada memberi pendedahan kepada pemain-pemain yang lebih muda dalam saingan liga yang lebih mencabar seperti Liga Perdana berbanding Piala Belia atau Piala Presiden.