Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan akan terus mempertahankan kedudukannya dalam badan itu di sebalik tekanan yang memaksa beliau berundur daripada kerusi berkenaan.
Katanya, penyingkiran Kelantan ke Liga Perdana tidak sepatutnya menjadi bahan untuk mana-mana pihak menuding jari mencari kesalahan orang lain sebaliknya semua pihak perlu bersatu bagi mengembalikan kegemilangan The Red Warriors.
“Kalau berumahtangga kita tidak mampu hadapi masalah kita kena berusaha bukan kita terus cerai isteri kita dan serahkan kepada orang yang mampu,” katanya.
Sebelum ini bekas presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa menyarankan individu yang tidak lagi mampu mentadbir badan induk berkenaan berundur yang merujuk kepada Bibi, demi kepentingan bola sepak negeri tersebut.
Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata jika benar ada pihak yang masih sayangkan KAFA maka mereka perlu tampil ke hadapan dan bersama-sama membantu barisan kepimpinan untuk mencari jalan penyelesaian.
Dalam masa yang sama, Bibi Ramjani turut berharap agar Annuar dapat memujuk bekas-bekas pemain The Red Warriors di bawah pimpinannya supaya dapat bersabar dan tidak asyik menekan KAFA ketika ini yang masih bergelut dengan pembayaran hutang.
“Tahun ini kita sudah berjaya menyelesaikan sedikit hutang bagi mendapatkan lesen untuk layak ke saingan Liga Malaysia musim ini jadi diharap para pemain dapat bersabar,” katanya. — BERNAMA