Luar Negara Berita

Saya tidak mahu lagi jadi kambing hitam-Mesut Ozil

Mesut Ozil membuat keputusan untuk tidak lagi menyarung jersi skuad kebangsaan Jerman selepas menerima pelbagai kritikan yang berunsurkan perkauman.

Semua kritikan itu berpunca daripada tindakan Ozil yang bergambar bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Mei lalu yang secara tidak langsung mencetuskan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap Jerman sebelum beraksi di Piala Dunia.

Katanya, beliau bertemu Erdogan buat pertama kali pada 2010 apabila Presiden Turki itu dan Kaunselor Jerman, Angela Merkel menyaksikan perlawanan antara Jerman dan Turki bersama-sama.

Namun Ozil menjelaskan, sekali pun beliau bergambar dengan Erdogan sejurus selepas pemimpin itu memenangi pilihan raya umum di negaranya, ia tidak ada kaitan dengan politik dan beliau sekadar menghormati pemimpin tertinggi negara asal keluarganya.

Pada masa yang sama, Ozil berkata beliau tetap setia dengan asal usulnya di kedua-dua negara Turki dan Jerman dan menegaskan beliau langsung tidak berniat untuk bermain politik.

“Seperti ramai orang lain, asal usul nenek moyang saya lebih dari satu negara. Walaupun saya membesar di Jerman, latar belakang keluarga saya adalah dari Turki.

“Saya mempunyai dua hati, satu Jerman dan satu Turki,” katanya.

Ozil turut meluahkan kekecewaannya terhadap Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) yang gagal mempertahankan pemainnya sendiri ketika beliau dikritik dengan teruk.

“Dengan berat hati dan selepas membuat pertimbangan sewajarnya, saya tidak lagi akan bermain untuk Jerman di peringkat antarabangsa kerana saya berasakan tidak dihormati selain kritikan berunsur perkauman yang saya terima.

“Paling mengecewakan adalah sikap presiden DFB, Richard Grindel yang langsung tidak mempertahankan saya,” katanya menerusi status dalam laman Twitter miliknya.

Tambah Ozil, Grindel dan jurulatih Jerman, Joachim Loew meminta dirinya untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi menamatkan kontroversi berhubung gambarnya bersama Erdogan.

“Tetapi ketika saya mahu menjelaskan kepada Grindel mengenai situasi sebenar, beliau sebaliknya lebih berminat untuk bercakap mengenai pandangan peribadinya dalam politik dan menafikan pandangan saya,” katanya.

Malah, beliau merasakan kritikan yang dilemparkan terhadapnya dibuat secara tidak adil apabila dikatakan menjadi punca kegagalan Jerman melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia.

“Saya tidak mahu lagi menjadi kambing hitam kepada Grindel yang gagal melaksanakan tugasnya dengan baik,” katanya. – AFP