Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee mendedahkan bahawa pasukannya mungkin terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung bulan hadapan jika pasukan-pasukan Liga Super dan Perdana masih enggan melepaskan pemain disebabkan bertembung dengan aksi Piala Malaysia.
Katanya, beliau tidak mempunyai cara lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras tidak mahu melepaskan pemain.
“Apabila saya menyenaraikan 24 pemain untuk dipanggil dan enam pemain dalam senarai sedia, hanya daripada 30 pemain ini sahaja yang saya boleh panggil.
“Jika kita tidak mempunyai cukup pemain kerana mengikut peraturan, sekurang-kurangnya 18 pemain dibenarkan secara minimum untuk ke Sukan Asia.
“Jadi kalau kita tidak dapat mengumpulkan 18 pemain, ia bermakna kita harus menarik diri daripada kejohanan itu,” katanya ketika ditemui pada Sesi Dialog Presiden FAM bersama penyokong bola sepak negara.
Justeru, Kim Swee mengharapkan kerjasama daripada semua pasukan supaya dapat memberi pelepasan kepada pemain yang dipilih.
“Saya harap semua pasukan memberi kerjasama dan yang penting adalah ia untuk kepentingan negara.
“Saya faham saingan Sukan Asia berlangsung serentak dengan Piala Malaysia namun ia hanya membabitkan beberapa perlawanan. Saya lihat tanpa beberapa pemain pun, semua pasukan masih mampu memberikan saingan cukup sengit,” katanya.
Meskipun senarai 24 pemain sudah diumumkan Rabu lalu bagi mengikuti latihan pusat bermula pada 30 Julai ini, namun tiada jaminan pemain berkenaan akan mendapat pelepasan dari pasukan masing-masing.