Jurulatih Didier Deschamps tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila Perancis berjaya menumpaskan bekas juara dunia, Argentina 4-3, sekali gus mara ke pusingan suku akhir, malam tadi.
Katanya, Perancis berjaya menjawab kritikan dengan persembahan yang begitu menakjubkan daripada barisan pemainnya terutamanya Kylian Mbappe dan Benjamin Pavard.
Namun, mereka hampir dikejutkan dengan kebangkitan Argentina menerusi gol jarak jauh Angel Di Maria dan gol dari Gabriel Mercado serta gol saat-saat akhir Sergio Aguero, cuma agak malang buat pasukan dari Amerika Selatan itu kerana tidak dapat mencari gol penyamaan.
Les Bleus bergelut dengan persembahan kurang meyakinkan sepanjang aksi kumpulan namun Deschamps jelas cukup gembira kerana akhirnya pemainnya dapat menunjukkan kualiti mereka dan menepati jangkaan pelbagai pihak.
“Kami perlu bertindak balas dan kami menjawabnya dengan baik hari ini. Sentiasa ada kritikan. Tapi kami perlu membuktikannya di tengah padang dengan persembahan berkualiti dan kami lakukannya malam ini.
“Kami memastikan Argentina merana. Ia perlawanan yang mendebarkan. Jelas sekali ada beberapa kesilapan.
“Kami bermula perlahan apabila ketinggalan 2-1 tapi kami tahu bagaimana untuk bertindak balas. Kami berjaya memastikan semuanya dilakukan dengan mudah pada hujung permainan.
“Ia amat menyeronokkan. Saya gembira buat pemain yang berjaya melayakkan diri ke suku akhir. Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, kami sudah membuat persiapan berbulan-bulan untuk beraksi dalam perlawanan seperti ini.” – AFP