Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Iago Aspas pastikan Sepanyol pimpin Kumpulan B dengan bantuan VAR

Mendebarkan! Itulah yang mampu diungkapkan bagi pelawanan di antara Sepanyol dan Maghribi. Walaupun telah sah terkeluar daripada saingan Piala Dunia 2018, Maghribi tetap memberikan tentangan yang sengit bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong bagi kempen ini.

Manakala, Sepanyol pula perlu memastikan mereka mengutip sekurang-kurangnya satu mata untuk mengelakkan mereka tersingkir awal andai Iran melakukan kejutan ke atas Portugal. Keputusan akhir bagi perlawanan di antara Sepanyol dan Maghribi berkesudahan dengan seri 2-2.

Khalid Boutaib, Isco dan En-Nesyri menjadi penjaring gol dalam perlawanan yang penuh mendebarkan ini. Iago Aspas pada awalnya dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid. Namun setelah dirujuk dengan VAR, jelas kedudukan beliau tidak ofsaid dan memberikan Sepanyol gol kedua.

Berikut adalah beberapa pemerhatian kami dalam perlawanan ini:

Magis Andres Iniesta

Walaupun usianya telah mengjangkaui 34 tahun, namun ungkapan ‘old is gold’ amat sesuai dengan pemain ini. Beliau menjadi pemain yang menggerakkan serangan serta melorongkan bola kepada Isco untuk gol penyamaan Sepanyol. Secara keseluruhan, bekas pemain Barcelona ini mampu menembusi barisan pertahanan Maghribi dengan kepantasan dan kelincahannya. Sekaligus menjadikan pertahanan Maghribi kucar-kacir setiap kali Iniesta masuk ke dalam kotak penalti mereka.

4 Kad kuning dalam masa 10 minit?

Sepanjang babak pertama, Maghribi begitu bersemangat untuk menyerang. Namun semangat mereka menjadikan mereka hilang rasional apabila kehilangan bola. Bentesan lambat dan kekasaran yang tidak perlu sering terjadi. Ini sedikit sebanyak merosakkan permainan dan mampu mengundang kecederaan. Paling merugikan, pemain bernombor 14 yang melakukan protes melampau ke atas pengadil sehingga memaksa pengadil melayangkan kad kuning.

Pemain tengah Sepanyol kreatif mengatur serangan

Terdiri Andres Iniesta, Isco, David Silva, Sergio Busquets dan Thiago Alcantara, mereka mempunyai pelbagai pilihan dalam mengatur serangan. Mereka boleh menghantar bola ke bahagian sayap, dan pemain tersebut boleh membuat hantaran lintang atau ‘cut inside’. Mereka juga boleh melorongkan bola di bahagian ‘half space’. Tetapi yang menjadi masalah adalah, tiada pemain yang dapat ‘convert’ kepada gol.

Kelekaan menyebabkan bolos gol

2 gol yang diperolehi oleh Maghribi  adalah disebabkan oleh kesilapan pemain Sepanyol dalam keadaan leka. Gol pertama berpunca daripada kesilapan Iniesta melakukan hantaran kepada Ramos. Gol kedua pula akibat daripada tiada pemain Sepanyol yang ‘marking’ En-Nesyri dan beliau berjaya melakukan ‘free header’ untuk memberikan Maghribi mendahului 1-2.

Iago Aspas menyelamatkan Sepanyol

Kemasukan Iago Aspas memberikan dimensi baharu untuk serangan Sepanyol. Pantas, lincah dan tajam. Dia berjaya melakukan larian di antara dua pertahanan tengah sebelum melakukan ‘diagonal pass’ kepada rakan sepasukan. Gol yang dijaringkan beliau pula meletakkan dirinya sebagai pilihan yang perlu diturunkan pada kesebelasan utama buat Sepanyol.