Jurulatih England, Gareth Southgate cukup tidak berpuas hati dengan segelintir media massa yang mendedahkan segala perancangannya sebagai persiapan berhadapan Panama, malam ini.
Bayangkan, England sendiri bergelut untuk meraih kemenangan menentang Tunisia tempoh hari dan Harry Kane hanya dapat menjaringkan gol di saat-saat akhir sekali gus mengelakkan diri daripada dimalukan seperti Argentina.
Pemenang dua anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris, Kane pula berjaya menafikan sebarang kritikan terhadap kemampuannya berada di pentas antarabangsa menerusi dua jaringan menentang Tunisia.
Namun keupayaan Kane tidaklah menutup sepenuhnya kecacatan pasukan England selepas pemain-pemain lain gagal menjaringkan sebarang gol meskipun mendapat peluang mudah pada separuh masa pertama.
Raheem Sterling dan Jesse Lingard ternyata pincang dan ketika Kane menyelamatkan maruah England menerusi aksi separuh masa kedua, kedudukan Sterling ketika berdepan Panama mungkin terancam.
Ini kerana, perancangan pasukan yang dibuat Southgate didedahkan dengan sengaja dalam kalangan media sebaik sahaja nota pembantunya, Steve Holland berjaya dirakam oleh media ketika latihan baru-baru ini.
Menurut nota berkenaan, Marcus Rashford akan menggantikan Sterling manakala Ruben Loftus-Cheek akan mengambil tempat Dele Alli, yang mengalami kecederaan paha ketika menentang Tunisia.
Southgate mengkritik media kerana memberikan peluang kepada pihak lawan untuk merencana strategi baharu bagi menangani England.
“Jika saya mahu memberikan lawan peluang untuk menewaskan pasukan kami sekalipun, maka pendedahan nota itu pastinya tidak memberikan sebarang kelebihan,” kata Southgate.
“Jadi terpulang kepada media sama ada untuk membantu pasukan atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Rashford menafikan England terlalu bergantung kepada Kane bagi meraih kemenangan.
“Saya tidak rasa begitu dalam pasukan ini.
“Beliau berjaya meletakkan dirinya pada kedudukan yang tepat. Jika kami mendapat bola dan mencari kedudukan Kane, pasti kami akan berbuat demikian dan beliau berpeluang untuk menjaringkan gol,” katanya. – AFP