Jumlah penalti dalam Piala Dunia 2018 kali ini secara rasminya mengatasi rekod jumlah penalti yang dihadiahkan oleh pengadil pada Piala Dunia empat tahun lalu.
Di Brazil, sebanyak 13 penalti dianugerahkan sepanjang kejohanan tersebut.
Namun sepakan penalti yang disempurnakan oleh Carlos Vela dalam perlawanan antara Mexico menentang Korea Selatan malam semalam menjadikan jumlah keseluruhan mencecah kepada 14 penalti.
Rekod tersebut sudah tidak jauh dengan catatan penalti terbanyak dalam sejarah Piala Dunia iaitu 18 penalti yang direkodkan pada Piala Dunia edisi 2002.
Peningkatan jumlah sepakan penalti setiap kali perlawanan berlangsung menghangatkan perbincangan antara media dan penyokong bola sepak di seluruh dunia yang rata-rata menganggap pengadil bantuan video (VAR) menjadi penyebab utama kepada jumlah penalti yang begitu banyak.
Setakat ini, pengadil perlawanan menghadiahkan enam sepakan penalti selepas merujuk kepada VAR.
Satu keputusan penalti turut dibatalkan ketika Brazil mengalahkan Costa Rica 2-0 selepas VAR mengesahkan tidak ada sebarang kekasaran melampau berlaku ke atas Neymar yang dilihat jatuh dalam kawasan kotak penalti.
Pengarah Pengadilan FIFA, Massimo Busacca sebelum berlangsungnya Piala Dunia berkata, VAR sebenarnya tidak sesuai untuk kejohanan tersebut dan ia sudah terbukti dengan keputusan tidak konsisten cukup mengecewakan pasukan dan peminat.
Pihak Brazil dan England pula merasakan VAR sepatutnya digunakan ketika meneliti keputusan penalti pada perlawanan pembukaan mereka, manakala jurulatih Australia, Bert van Marwijk berang dengan keputusan VAR yang mengakibatkan kekalahan pasukannya kepada Perancis.
“Saya harap satu hari nanti akan ada pengadil yang benar-benar jujur,” kata Van Marwijk.
“Daripada bahasa badan pengadil, beliau seperti tidak tahu dan kemudian terpaksa membuat keputusan menggunakan VAR,” katanya.
Bagaimanapun, FIFA kekal dengan pendirian untuk terus menggunakan khidmat VAR.
Ketika ini, VAR hanya meneliti jaringan gol, penalti, kad merah dan kesilapan identiti pemain namun tidak boleh digunakan ketika sepakan percuma, yang menyebabkan beberapa pemain kecewa dengan peranan sistem tersebut. – REUTERS