Liga Super Malaysia

Cristiano perkuat jentera serangan Kelantan

Biarpun jendela perpindahan kedua sudah ditutup, tetapi nampaknya masih ada pemain baru yang masih belum tiba walaupun sudah didaftarkan. Kelantan antara pasukan yang masih menantikan penyelamat mereka tiba untuk memperkuat pasukan selepas melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan telah mengumumkan bahawa penyerang baru mereka, Cristiano Santos akan tiba di Kota Bharu pada 15 Jun nanti.

Pemain berusia 30 tahun daripada Brazil itu sebelum ini beraksi untuk kelab Morocco, Hassania Agadir dan akan menggantikan tempat pemain pertahanan Bouslimi Alaeddine biarpun pemain dari Tunisia itu juga baru menyertai Kelantan di jendela perpindahan kedua.

Selain itu, dikhabarkan perpindahan seorang lagi pemain import, Madhu Mohana tidak berjaya dan Kelantan hanya akan beraksi dengan empat orang pemain import untuk baki saingan musim ini.

Selain Cristiano Santos, tiga lagi pemain import Kelantan adalah Cassio Jesus, Lazarus Kaimbi dan Baktiar Duishobekov. Kelantan tidak akan menggunakan slot import Asean mereka.

Kelantan kini sedang dalam percubaan terakhir untuk terus kekal di Liga Super. Mereka kini berada di tangga terbawah Liga Super selepas sekadar memungut 11 mata daripada 15 perlawanan.

Masalah kewangan yang melanda Kelantan musim ini telah menyaksikan beberapa pemain import ditukar dan pemain-pemain bintang mereka meninggalkan pasukan. Selain itu, drama pertukaran jurulatih juga telah menjadi bahan jenaka di kalangan peminat bolasepak tanah air.