Luar Negara Piala Dunia 2018

Senarai 10 pemain Liga Super China yang bakal beraksi di pentas Piala Dunia 2018

Oscar, Hulk dan Ezequiel Lavezzi, tiga orang pemain ternama Liga Super China yang tidak mewakili negara masing-masing di Piala Dunia 2018.

Tetapi itu tidak bermakna tiada pemain dari liga itu yang akan tampil dalam saingan di Russia. Sebenarnya, terdapat 10 orang pemain Liga Super China yang akan beraksi di Piala Dunia 2018 nanti.

Berikut adalah senarai pemain tersebut.

Javier Mascherano

Tidak lagi bersama Barcelona tidak bermaksud dia telah menemui penghujung karier. Ketika menyertai Hebei China Fortune yang ketika ini menduduki tangga ke Sembilan liga, Mascherano tetap tidak dapat digantikan dalam kem Argentina. Dia masih lagi menjadi tonggak utama dalam pasukan kendalian Jorge Sampaoli tidak kira di bahagian benteng atau tengah.

Axel Witsel

Salah satu sebab mengapa Radja Nainggolan tidak dibawa ke Russia. Roberto Martinez selaku pengurus pasukan lebih gemar menggunakan khidmat khidmat pemain Tianjin Quanjian, Witsel, berbanding Nainggolan yang melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah bersama AS Roma. Alasannya, percaturan taktikal.

Renato Augusto

Kisah lain mengenai pemain bintang yang tidak dibawa ke Piala Dunia. Tite tidak berminat membariskan Oscar dalam saingan di Russia tetapi memilih seorang lagi wakil dari Liga Super China, Renato Augusto, yang bersama Beijing Guoan. Ia berlaku disebabkan Tite pernah bersama Renato ketika memenangi kejuaraan Serie A Brazil pada 2015 di Corinthians.

Yannick Ferreira Carrasco

Walaupun Dalian Yifang berada di tangga kedua terbawa Liga Super China, itu tidak bererti prestasi Carrasco turut menjunam. Buktinya, dia terpilih mewakili Belgium di Piala Dunia kali ini. Sebelum ini, ia menjadi persoalan selepas Carrasco membuat keputusan untuk meninggalkan Atletico Madrid dan menuju ke China.

John Obi Mikel

Sudah hampir setahun Obi Mikel meninggalkan segala kemewahan di Liga Perdana Inggeris demi meneruskan karier  di Liga Super China. Walaupun sudah berusia 31 tahun, ternyata aksi di China tidak membantutkan prestasinya. Dia kini memegang lilitan ketua pasukan buat Tianjin TEDA serta pasukan kebangsaan Nigeria.

Odion Ighalo

Masih bersembang tentang Nigeria, skuad kendalian Gernot Rohr juga akan tertumpu kepada pemain lain dari Liga Super China. Ighalo yang pernah tampil memukau bersama Watford akan beraksi di Piala Dunia 2018 menerusi status pemain Changchun Yatai. Adakah dia mampu membawa cabaran Super Eagles di negara Beruang Merah?

José Fonte

Berusia 34 tahun dan kelabnya, Dalian Yifang, terperosok ke tangga kedua terbawah Liga Super China nyata tidak menggugat tempat bekas benteng Southampton ini dalam skuad Portugal. Fonte merupakan salah seorang daripada 23 pemain yang dibawa Fernando Santos ke Russia dan bakal diletakkan di bangku simpanan.

Giovanni Moreno

Skuad Colombia juga akan diperkuatkan oleh pemain yang beraksi di Liga Super China ketika saingan Piala Dunia nanti. Moreno merupakan pemain tengah yang juga kapten Shanghai Shenhua. Jose Pekerman akan mengumumkan skuad rasminya pada 4 Jun dan berbekalkan pengalaman di peringkat antarabangsa, namanya mungkin akan terpilih.

Duško Tošić

Skuad Serbia juga tidak terlepas daripada penampilan pemain Liga Super China. Tosic adalah bekas pemain bek tengah/sayap buat Besiktas dan kini bersama pasukan Guangzhou R&F. Berusia 33 tahun, dia akan bersaing untuk merebut tempat di bahagian benteng Serbia bersama pemain muda yang kurang penampilan antarabangsa seperti Nikola Milenkovic dan Uros Spajic.

Kim Young-gwon

Berbekalkan 51 penampilan bersama Korea Selatan sejak 2010, bek tengah Guangzhou Evergrande ini salah seorang tonggak senior di barisan pertahanan The Taeguk Warriors. Memiliki ketinggia 186 sentimeter, Kim boleh diharapkan untuk aksi Kumpulan F yang turut dihuni oleh Jerman, Sweden dan Mexico.