Liga Super Malaysia Asia Tenggara

Tidak jadi ke Kuala Lumpur, Sylvano Comvalius dikhabarkan akan kembali ke Bali United

Nampaknya hasrat peminat Kuala Lumpur untuk menyaksikan gandingan De Paula dan Sylvano Comvalius tidak tercapai.

Penyerang kelab Suphanburi di Liga Thailand itu sebelum ini kuat dikaitkan dengan Kuala Lumpur bagi menggantikan tempat pemain import, Junior Aperacido. Namun, disebabkan faktor kewangan, Kuala Lumpur terpaksa menukar fikiran dan mengekalkan Junior musim ini.

Comvalius pula kini dikhabarkan akan kembali ke kelab lamanya,Bali United yang kini bergelut di Liga 1 Indonesia.

Penyerang Belanda itu menunjukkan aksi cemerlang bersama Bali United musim lalu, namun perpindahannya ke Suphanburi nampaknya tidak membuahkan hasil.

Pada hari Ahad lalu, Comvalius dilihat berada di Stadium Dipta bagi menyaksikan perlawanan di antara Bali United dan Persib Bandung.

Kehadirannya ke perlawanan tersebut menguatkan lagi spekulasi perpindahannya ke Bali United, apatah lagi dia dikatakan sempat berjumpa dengan pemilik Bali United, Pieter Tanuri.

Jika benar Comvalius akan kembali ke Bali United, maka berkecailah impian peminat Kuala Lumpur untuk melihat gandingan Brazil-Belanda di bahagian depan City Boys.

Namun berita ini pastinya menggembirakan peminat Bali United kerana mereka sangat mahukan penyerang sensasi mereka ini kembali untuk membantu mereka mencari rentak di liga Indonesia.