Malaysia Piala Dunia 2018

Kerajaan bercadang siar Piala Dunia secara percuma di RTM

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dijangka akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet esok bagi mendapatkan hak penyia­ran perlawanan Piala Dunia 2018 secara langsung khas untuk peminat bola sepak di Malaysia.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada mesyuarat Kabinet dan berharap isu yang dibangkitkan akan mendapat jawapan segera.

“Saya akan bawa isu ini ke Kabinet pada hari Rabu dan harap kita akan dapat jawapan yang memihak kepada kita.

“Ini adalah cara bagi kita mempromosi kembali RTM. Saya rasa kita perlu melakukannya, kita perlu meningkatkan bilangan penonton RTM.

“Ini acara antarabangsa. Pada saya, cukup pen­ting supaya ia disiarkan secara langsung oleh RTM yang menjadi rangkaian televisyen rasmi,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini juga, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menyeru kerajaan mencari jalan untuk membawa siaran langsung Piala Dunia 2018 kepada peminat tanah air.

Kejohanan Piala Dunia adalah acara bola sepak paling berprestij yang berlangsung empat tahun sekali dengan kali ini Rusia dipilih selaku tuan rumah.

Sebanyak 32 negara daripada lima konfederasi bola sepak akan berentap di 12 stadium bagi merebut piala berprestij itu.

Sepak mula perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 akan diadakan pada 14 Jun ini di antara tuan rumah, Rusia menentang Arab Saudi dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Luzhniki, Moscow pada 6 petang waktu tempatan iaitu 11 malam waktu Malaysia).