Piala Dunia 2018 Luar Negara

Eksklusif: Legenda MUFC Andrei Kanchelskis pilih empat pasukan yang punyai peluang julang Piala Dunia

Bekas pemain sayap Manchester United, Andrei Kanchelskis menjadi tetamu khas ketika perlawanan Liga Super di antara Kuala Lumpur dan Kelantan pada malam tadi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kanchelskis yang juga pernah menyarung jersi Everton dan beraksi untuk skuad kebangsaan Russia juga sempat bertemu peminat-peminat Manchester United dan Everton di Malaysia.

Kami sempat melontarkan beberapa soalan kepada pemain yang membuat 123 penampilan dan menjaringkan 28 gol untuk Manchester United ini, termasuk tentang ramalan beliau untuk Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia pada bulan Jun ini.

Pada pendapat Kanchelskis, bukan mudah untuk membuat ramalan bagi edisi Piala Dunia kali ini, namun beliau turut menyenaraikan empat pasukan yang mampu mencipta impak yang besar.

“Susah untuk ramal siapa akan menjuarai kejohanan kali ini. Sekarang ada banyak pasukan hebat. Pasukan seperti Jerman dan Sepanyol pasti menjadi pilihan, tetapi Brazil juga sudah semakin bagus sekarang, juga Argentina. Empat pasukan ini akan menjadi pilihan untuk menjulang trofi Piala Dunia,” kata Kanchelskis kepada Football Tribe.

Selain menjadi antara ikon terbesar Man United di bawah Sir Alex Ferguson, Kanchelskis turut pernah membuat lebih daripada 30 penampilan untuk skuad kebangsaan Russia. Namun, apabila ditanya tentang peluang Russia sebagai pasukan tuan rumah di pentas Piala Dunia, Kanchelskis tidak begitu optimistik.

“Jika Russia boleh mencatat beberapa keputusan yang bagus, mereka boleh layak ke peringkat seterusnya. Saya kata begitu kerana buat masa ini bolasepak Russia mempunyai masalah.

“Tidak ramai pemain yang begitu bagus, dengan tidak ramai pemain beraksi di luar Russia. Ini merupakan satu masalah kerana tiada pemain yang membuktikan kehebatan mereka di luar negara.

“Juga ada masalah dari segi kewangan dan ekonomi untuk kelab-kelab tempatan. Oleh sebab itu saya katakan, ianya keputusan yang bagus jika kami dapat melepasi peringkat kumpulan,” ujar Kanchelskis, yang kini berumur 49 tahun.

Ketika bersama Manchester United, Kanchelskis berjaya membantu skuad Red Devils meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, selain turut memainkan peranan yang besar apabila United memenangi Piala FA pada tahun 1994.

Sebagai seorang individu yang memahami tekanan yang diletakkan di atas bahu seorang pemain Man United, Kanchelskis berpendapat bahawa pencapaian United di bawah Jose Mourinho musim ini merupakan sebuah kegagalan.

“Satu musim tanpa trofi bagi kelab seperti Manchester United adalah satu musim yang buruk. Dengan jurulatih baru (Jose Mourinho), dan sistem baru. Berdasarkan pengalaman saya selaku bekas pemain Manchester United, ianya musim yang buruk,” tambah beliau.