Malaysia Liga Super Malaysia

Perlukah kuota import ASEAN dikaji semula oleh MFL?

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) digesa supaya mengkaji semula kewujudan kuota pemain import ASEAN yang dilihat tidak memberikan sebarang nilai tambah kepada setiap pasukan pada musim ini.

Malah, beberapa bekas pemain negara menganggap kehadiran mereka sebagai satu pembaziran serta menutup peluang pemain tempatan untuk menunjukkan bakat mereka.

Bekas pemain bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh berkata, selepas hampir setengah tahun liga berlangsung, beliau tidak percaya pemain import ASEAN sudah memberikan sumbangan yang besar kepada pasukan mereka.

“Saya tidak nampak apa-apa faedah pun daripada kuota ASEAN itu kerana berdasarkan kualiti kebanyakan mereka tidak banyak beza dengan pemain tempatan.

“Kalau begitu, buat apa kita nak buang duit bayar gaji mereka tinggi-tinggi sedangkan prestasi tak seberapa. Bukankah lebih elok duit itu kita belanjakan untuk pemain tempatan.

“Saya cadangkan supaya MFL kaji semula keperluan kuota ini, kalau tidak membawa sebarang manfaat, elok ditiadakan,” katanya kepada Berita Harian.

Bekas pertahanan kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail pula berpendapat kuota empat pemain import sudah memadai untuk setiap pasukan.

“Sejak awal lagi saya tidak bersetuju dengan idea mewujudkan kuota ASEAN kerana kita semua sedia maklum sejauh mana kemampuan mereka. Kalau ada yang berkualiti atau lebih bagus daripada pemain kita pun tidak ramai.

“Malah, yang bagus-bagus pun tidak berminat untuk main dalam liga kita, mereka memilih untuk bermain dalam liga lebih kompetitif seperti Jepun, Korea mahupun Thailand.

“Sekarang, kita sendiri sudah lihat hasilnya, saya rasa memang elok jika MFL kaji semula kedudukan kuota ASEAN ini,” katanya.

Sementara itu bekas pemain Kedah, Khamal Idris Ali mahu MFL mengkaji dari segi pemasaran dan sambutan penyokong dari luar negara.

“Berdasarkan prestasi, memang tidak berbaloi kerana hanya seorang dua saja yang berkualiti. Lebih baik kita beri peluang kepada anak tempatan terutama pemain muda.

“Tapi sejauh mana pula kesannya dari sudut lain contohnya pemasaran, penajaan serta sambutan peminat terutama dari luar negara. Jika positif, mungkin kita boleh teruskan,” katanya.

Bekas pemain, Subadron Aziz pula menganggap tidak ada salahnya kuota ASEAN diwujudkan jika Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) mewajibkan semua liga ahli gabungannya mengambil pemain import ASEAN.

“Kalau semua negara ASEAN diwajibkan menggunakan import dalam kalangan negara serantau, pemain kita akan turut mendapat manfaat kerana berpeluang mengembangkan bakat dalam liga negara lain,” katanya.