Asia Asia Tenggara

Tiada hukuman untuk Bhayangkara FC

Selepas kecoh mengenai kemungkinan dikenakan hukuman kerana menurunkan Vladimir Vujovic yang masih dalam tempoh penggantungan dalam perlawanan menentang Persija Jakarta, kelab Liga 1 Indonesia Bhayangkara FC telah memberi penjelasan sebenar.

Menurut COO Bhayangkara FC, AKBP Sumardji, hukuman tersebut sebenarnya sudah terhapus selepas jawatankuasa disiplin PSSI telah meringankan hukuman yang dikenakan ke atas Vujovic.

“Hukuman untuk Vujovic telah digantikan dengan pemantauan. Keputusan itu sudah diberitahu pada minggu lalu, jadi tiada masalah,” kata Sumardji seperti dilaporkan Bola.net.

Menurut Pengarah Teknikal Bhayangkara FC, Yeyen Tumena, hukuman penggantungan Vujovic telah digantikan dengan tempoh pemantauan selama enam bulan .

“Jika dia mengulangi perbuatan yang sama dalam masa enam bulan daripada bermula liga, maka baki tiga penggantungan tersebut akan berjalan serta merta.”

Dalam perlawanan pembukaan Liga 1 Indonesia yang lalu, Bhayangkara FC terikat tanpa jaringan menentang Persija Jakarta. Juara bertahan Liga 1 Indonesia itu akan beraksi menentang PSMS Medan dalam perlawanan seterusnya.