Selepas kegagalan layak ke suku akhir Liga Juara-Juara, Paris Saint Germain kini mahukan seorang pengurus yang cukup berpengalaman untuk membimbing mereka.
Nama yang dikaitkan dengan mereka adalah pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang kini berdepan masa depan yang tidak menentu di London selepas Arsenal menunjukkan aksi buruk musim ini.
Buat masa ini, PSG dibimbing oleh Unai Emery, namun selepas kegagalan dua tahun berturut untuk membawa PSG menjulang trofi Liga Juara-Juara, nampaknya masa depan Emery semakin kabur.
Setelah berbelanja besar membawa masuk Neymar dan Kylian Mbappe, pastinya pihak pengurusan PSG berharap kelab Perancis itu mampu pergi jauh dalam saingan Liga Juara-Juara.
Tahun lalu mereka tewas kepada Barcelona, dan tahun ini mereka tewas kepada satu lagi gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Agak aneh apabila mereka mahu sasarkan Wenger kerana rekod Wenger dalam saingan Liga Juara-Juara tidak cukup bagus. Jurulatih Perancis itu cuma dapat membawa Arsenal ke pentas akhir cuma sekali sahaja dan mereka tewas 2-1 kepada Barcelona dalam perlawanan tersebut.
Arsenal di bawah bimbingan Wenger telah tewas empat perlawanan berturut, kepada Ostersund dalam aksi Liga Europa, Manchester City dua kali dalam aksi Piala Carabao dan liga Inggeris dan terbaru kepada Brighton minggu lalu juga dalam aksi liga.
Selepas semua kekalahan tersebut, ramai penyokong Arsenal sudah mula berang dan mahu Wenger meletakkan jawatan. Namun, menurut media Inggeris, Wenger telah memberitahu semua pegawainya bahawa dia tidak akan meletakkan jawatan pada musim panas ini.
Menurut laporan media Perancis, Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi telah mula bertindak untuk mendapatkan Wenger selepas kekalahan kepada Real Madrid itu.