Bekas ketua jurulatih Kelantan, Velizar Popov telah mendedahkan bahawa dia berminat untuk kembali ke Kota Bharu untuk mengambil alih semula pasukan tersebut.
The Red Warriors memecat Sathit Bensoh petang semalam dan Popov telah dikaitkan dengan posisi tersebut. Namun, jurulatih yang berasal daripada Bulgaria itu hanya akan kembali jika Kelantan FA (KAFA) bersedia menerima dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan olehnya.
“Setakat ini tiada tawaran rasmi lagi daripada Kafa dan sekarang giliran mereka (memulakan rundingan). Saya beritahu anda, bahawa saya sudah bersedia bercakap dengan mereka,” kata Popov kepada Sinar Harian.
“Secara umumnya, KAFA tahu apa syarat-syarat saya sebelum ini. Jika mereka mahukan saya, mereka mesti faham terma tersebut dan ini menjadikan perbincangan itu nanti lebih mudah.
“Seperti saya beritahu, saya bersedia untuk berbincang walaupun pada rundingan lalu mereka berhenti dengan berkata ok, tiada Popov tiada masalah,” tambah bekas jurulatih Suphanburi itu.
Popov mengambil alih skuad Kelantan untuk lima bulan pada tahun 2016, dan berjaya membantu The Red Warriors menduduki tangga ke-4 di Liga Super. Namun, dia akhirnya meninggalkan Kota Bharu selepas menerima tawaran kontrak yang jauh daripada jangkaan.
Dia kemudiannya menjadi ketua jurulatih Sisaket FC di Thailand pada awal 2017, sebelum meninggalkan kelab tersebut beberapa bulan kemudian.