Bekas pemain Selangor, Andik Vermanysah kini menjadi pemain rebutan di Indonesia dan juga di Malaysia. Selepas dikaitkan dengan kepulangan ke Persebaya Surabaya, pemain ini turut dikaitkan akan menyertai Mario Gomez dan Michael Essien di Persib Bandung.
Namun, ada ura-ura menyatakan bahawa pemain sayap lincah ini akan kembali beraksi di Malaysia tetapi bukan kembali bersama Selangor. Andik yang masih mencari kelab dikaitkan dengan pasukan dari utara tanah air, Kedah FA.
Kedah masih memiliki kekosongan kuota import Asean mereka setakat ini dan jika benar Andik mahu menyertai Kedah, ianya akan menjadi satu motivasi tambahan kepada pasukan untuk memberi saingan di Liga Super 2018.
Kuota import Kedah sudah diisi oleh Liridon Krasniqi (Kosovo), Sandro Da Silva (Brazil), Pablo Pallares (Sepanyol) dan pemain Filipina kelahiran Sepanyol, Alvaro Silva yang mengisi kuota Asia.
Selain Kedah, nama Andik turut dikaitkan dengan kepulangan ke Selangor sebelum ini. Namun,perkara ini telah dinafikan oleh pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf ketika menjawab soalan wartawan sebelum aksi menentang Kuala Lumpur minggu lalu.
“Untuk sekarang, kuota pemain import sudah penuh.
“Kami tidak tahu mungkin nanti bila jendela perpindahan pertengahan musim. Tapi kalau sekarang, tidak kerana kuota pemain import sudah penuh.”