Kelantan dijangka akan membawa masuk penyerang Global FC, Misagh Bahadoran untuk melengkapkan kuota import ASEAN mereka buat tahun 2018.
Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan bahawa Mario Simic akan menjadi penyerang utama mereka, manakala Misagh menjadi calon utama untuk digandingkan bersama bekas pemain Melaka United itu.
“Simic bersetuju menandatangani kontrak selama setahun dan KAFA bersetuju menandatangani kontrak dengan beliau secepat mungkin,” kata Bibi Ramjani kepada Arena Metro.
“Buat masa ini, Bahadoran menjadi pilihan KAFA untuk digandingkan dengan Marco Simic mengetuai jentera serangan pasukan.
“Bahadoran yang juga bekas pemain kebangsaan Filipina itu bakal hadir pada Jumaat ini dalam majlis jamuan ramah mesra KAFA bersama Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) dan peminat di Kok Lanas,” tambah Bibi.
Misagh merupakan antara pemain yang paling berpengalaman di Filipina dengan 54 penampilan untuk skuad Azkals. Musim lepas, Misagh berjaya membantu Global FC maju ke peringkat final Philippines Football League, di mana mereka akhirnya tewas kepada Ceres FC.