Liga Super Malaysia

Milos Raickovic Maestro Muda Sarawak, Prospek Masa Depan Bujang Senang

Selepas mencatatkan keputusan yang kurang memberangsangkan dalam pusingan pertama saingan Liga Super Malaysia, pihak pengurusan pasukan Sarawak telah mengenal pasti beberapa kelemahan yang terdapat dalam pasukan mereka.

Oleh itu pihak pengurusan Sarawak telah membawa masuk seorang pemain muda dari Montenegro, iaitu Milos Raickovic bagi memperkukuh barisan tengah skuad Bujang Senang.

Penulis bebas Hairi Mohd mengupas sejarah kerjaya Milos Raickovic dan kekuatan yang ada pada beliau untuk membantu pasukan Sarawak mengharungi saingan bola sepak tempatan.

PROSPEK MASA DEPAN SKUAD BUJANG SENANG

Selain kelincahan Sahil, jaringan Mateo Roskam dan Demerson Bruno Costa malam tadi, antara pemain yang berjaya mencuri tumpuan para peminat bola sepak tempatan ialah maestro muda pasukan Sarawak iaitu Milos Raickovic. Milos Raickovic baru berusia 23 tahun, namun telah menampilkan persembahan epik dalam beberapa perlawanan buat Sarawak.

Milos Raickovic merupakan anak kepada seorang jurulatih akademi bola sepak di Montenegro yang telah banyak membentuk pemain Serbia & Montengro yang terkenal. Salah seorang pemain yang pernah berguru dengan bapa beliau ialah bekas penjaring terbanyak liga Malaysia 2016, iaitu Ilija Spasojević. Oleh itu tidak hairanlah jika Milos dilihat mempunyai disiplin yang tinggi dalam karier bola sepaknya.

Milos telah bermain dalam skuad utama juara liga Montenegro, FK Buducnost Podgorica sejak berusia 18 tahun. Oleh itu, pemain ini sememangnya kaya dengan pengalaman walaupun sama usia dengan kebanyakan pemain muda liga tempatan.

Sepanjang bersama FK Buducnost Podgorica, beliau telah tampil sebanyak 112 kali dalam semua pertandingan dan telah beraksi di saingan UEFA Europa League. Sepanjang kempen tersebut beliau berjaya menjaringkan beberapa gol namun gol yang paling dikenang adalah semasa menewaskan KRC Genk dari Belgium dengan keputusan 2-0 sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke Asia buat kali pertama, Mei lalu.

Perancangan Sarawak untuk mewujudkan barisan pemain yang muda dan segar tampak ketara. Di samping memberi pendedahan kepada beberapa orang pemain muda, pasukan Sarawak juga membuat perancangan yang baik dengan memberi keutamaan kepada pemain import yang lebih muda tetapi berpotensi besar untuk menyinar dan menjadi prospek masa depan Sarawak di Liga Malaysia.

MILOS MENAMBAH BAIK BAHAGIAN TENGAH SARAWAK

Antara masalah utama pasukan pasukan Sarawak pada sebelum ini ialah ketiadaan ‘pivot’ di bahagian tengah sehingga memaksa Demerson diletakkan di posisi pemain tengah bertahan. Namun kemasukan Milos telah banyak membantu mengukuhkan sistem permainan Sarawak terutama ketika membuat serangan dan juga ketika menyerap asakan daripada pihak lawan.

Milos juga berperanan sebagai pengumpan bola-bola penting kepada para penggempur Sarawak kerana kelebihannya mencipta hantaran tepat yang dimilikinya.

KELEBIHAN MILOS RAICKOVIC

Berdasarkan rekod semasa di FK Buducnost Podgorica, Walaupun Milos bermain di posisi yang lebih ke arah bertahan, namun Milos juga memainkan peranan aktif semasa pasukan membuat serangan.

Beliau juga mempunyai kemampuan untuk menjaringkan gol. Kebanyakan gol jaringannya adalah hasil daripada ‘tembakan jarak jauh’, sepakan percuma dan tandukan.

MILOS RAICKOVIC: BAKAL SETANDING LIRIDON DI KEDAH?

Kekuatan Milos adalah pada ketenangannya mengawal bahagian tengah, kebijakan membuat keputusan, kekuatannya untuk memenangi perebutan bola dan dan ketepatannya membuat hantaran pendek dan panjang.

Buktinya Milos telah menjaringkan gol yang cukup cantik iaitu gol percubaan jarak jauh dari jarak 18 meter semasa menentang Sabah. Pada perlawanan malam tadi juga, Milos telah membuat suatu percubaan yang hampir saja memberikan gol ketiga buat pasukan Sarawak.

Gaya permainan yang ‘cool dan relax’ dan hantaran dan tolakan bola yang mudah di tambah dengan kawalan bola yang tenang membuatkan pergerakan Milos seolah-olah Liridon Krasniqi di pasukan Kedah. Pendek kata, jika Kedah ada Liridon, Sarawak ada Milos sebagai maestro berkualiti pasukan.

Milos dapat dilihat bakal menjadi jawapan kepada memantapkan pasukan Sarawak dan pastinya menjadi perhatian pasukan-pasukan lawan tatkala pasukan mereka menentang pasukan Sarawak pada perlawanan yang akan datang.