Malaysia Liga Super Malaysia

Senarai gaji pemain bolasepak Kedah terdedah di media sosial

Senarai gaji pemain Kedah untuk musim 2017 dan 2018 sedang menjadi viral sekarang selepas sebuah dokumen yang mengandungi maklumat tersebut terdedah di media sosial.

Dokumen tersebut menunjukkan perbandingan gaji pemain-pemain Kedah pada tahun 2017 dan juga 2018, selain mendedahkan jumlah peningkatan gaji yang diberikan kepada semua pemain, dari segi peratus.

Memandangkan ini merupakan dokumen sulit yang agak penting, spekulasi media sosial mengatakan bahawa info ini didedahkan oleh sumber dalaman yang mempunyai akses kepada dokumen-dokumen penting di pejabat KFA.

Berikut adalah dedahan senarai gaji tersebut:

Kredit: Facebook

 

Menurut dokumen tersebut, pemain yang menerima gaji paling tinggi di Kedah adalah Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva – dua pemain yang menerima RM128,670.00 sebulan, manakala Baddrol Bakthiar pula merupakan pemain tempatan yang menerima gaji paling tinggi, iaitu RM77,109.05 sebulan.

Dari segi peratus kenaikkan gaji pula, Akhyar Rashid diberi gaji bulanan sebanyak RM16,869.05 pada tahun ini, berbanding gajinya pada tahun 2017 iaitu RM2,408.88. Rizal Ghazali dan juga Khairul Helmi turut diberikan kenaikkan gaji yang ketara. Rizal menerima peningkatan sebanyak 53 peratus manakala Khairul Helmi pula diberi peningkatan sebanyak 48 peratus.

Tetapi perkara ini bukan satu isu yang mengejutkan kerana kebanyakkan pemain bola sepak di Malaysia menerima gaji yang lebih kurang sama dengan jumlah yang tertera di dalam senarai ini. Malah, sesetengah kelab lain mungkin mampu membayar gaji yang lebih mahal, berbanding dengan kemampuan bulanan Kedah FA.

Pada tahun 2015, akhbar tempatan, New Straits Times mendedahkan bahawa gaji yang diterima oleh beberapa pemain bintang di Malaysia ketika itu, termasuk Patito Rodriguez. Bekas pemain Santos itu menerima gaji sebanyak RM250,000 sebulan, manakala tonggak Pahang, Dickson Nwakaeme pula dibayar sebanyak RM160,000 sebulan.

Dari segi pemain tempatan, Norshahrul Idlan dikatakan menerima gaji tertinggi pada ketika itu dengan RM80,000 sebulan, manakala Indra Putra dan Shukor Adan dibayar sebanyak RM75,000 sebulan di Felda United. Kapten JDT, Safiq Rahim pula menerima gaji sebanyak RM70,000 sebulan.