Benjamin Mora mengemukakan beberapa sebab yang menyebabkan JDT kalah besar 4-1 kepada Pohang Steelers.
Jurulatih JDT berkata, rentak permainan, keadaan padang dan cuaca menjadi antara faktor kekalahan pasukannya.
“Ada banyak perkara dalam bola sepak yang kita tidak dapat kawal… kita tidak dapat kawal cuaca, padang yang teruk, layangan kad seawal minit ketiga kepada pemain pertahanan tengah saya dan seumpamanya.
“Kami cuba mengawal permainan rentak perlahan Pohang Steelers kerana mereka menggerakkan bola dengan sangat perlahan, menanti saat tiba.
“Kami telah melaksanakan tugas dengan sangat baik, tetapi malangnya mereka diberikan dua tendangan penalti. Kami tidak dapat kembali walaupun kebanyakan masa menguasai bola pada babak kedua.
“Kami mempunyai beberapa peluang dan kami tidak menyudahkannya. Tetapi pada saya perkara yang paling penting adalah usaha para pemain.”
Bagaimanapun, Mora berharap pemainnya dapat melalui proses pemulihan yang mencukupi sebelum kembali beraksi esok.
“Saya perlu memantau pemain selepas hari ini kerana sudah tiga perlawanan yang memenatkan. Sebilangan besar dari mereka keletihan dan kami akan fokus pada pemulihan.”