Kelantan sekali lagi mengumumkan penyelesaian tunggakan terhadap bekas jurulatih Marko Kraljevic sebanyak lebih RM1 juta.
Tunggakan Marko itu jauh lebih mahal berbanding Cassio dan Abou Bakr Al Mel.
Penasihat Undang-Undang Kelantan, Shairuz Sheffie dalam kenyataan berkata pembayaran itu dibuat sebanyak dua kali.
Malah, Kelantan terpaksa membayar penalti yang dikenakan oleh FIFA.
“Kami telah berjaya menyelesaikan sepenuhnya pembayaran tertunggak sebanyak USD241,774.93 (RM997,253.84) kepada Marko Kraljevic dalam dua bahagian USD25,000 (September 2020) dan USD216,774.93 (Disember 2020) kepada Peguamcara, Kasalo & Raic.
“Dalam kes ini, kami juga telah menyelesaikan sepenuhnya bayaran penalti yang dikenakan oleh FIFA untuk kes ini berjumlah CHF15,000.00 (RM69,996.00) di mana jumlah keseluruhan pembayaran bagi kes ini adalah sebanyak RM1,067,249.84.
“Bayaran ini termasuk dalam perjanjian pengambilalihan pasukan Kelantan FA yang ditandatangani pada 3 September 2020.”
Marko Kraljevic dilantik sebagai jurulatih Kelantan pada Januari 2019 namun kontraknya ditamatkan serta-merta pada April 2019 ekoran prestasi buruk sehingga pasukannya terperosok di kedudukan tercorot Liga Premier.