Liga Super Malaysia Berita

10 pasukan Liga Super tolak penyingkiran, mahu 14 pasukan musim depan

Sebanyak 10 pasukan Liga Super telah mengusulkan cadangan kepada MFL supaya tidak mengadakan penyingkiran pada musim ini.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Kehormat PDRM FA, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya selaku pencetus kepada cadangan tersebut.

Ini bermakna pasukan dari Liga Super tidak perlu disingkirkan ke Liga Perdana, sebaliknya hanya perlu menambah dua pasukan dari divisyen kedua menjadikan sebanyak 14 pasukan yang bertanding pada musim depan.

Beliau berkata, cadangan itu dibangkitkan semasa mesyuarat bersama MFL sebelum liga disambung semula pada bulan Ogos.

“Itu idea saya,” katanya kepada NST.

“Tetapi ada beberapa kelab tampil menyatakan persetujuan dan mereka ada menghantar surat sebagi tanda sokongan.”

Cadangan itu diusulkan atas dasar bahawa penyingkiran tidak sepatutnya berlaku kerana penularan Covid-19.

Ini kerana musim ini telah dikurangkan kepada separuh, dari 22 menjadi hanya 11 perlawanan, yang dianggap tidak cukup untuk menggambarkan kekuatan sebenar sesebuah pasukan yang bertanding.

Bagaimanapun, MFL masih belum memberi respons terhadap cadangan tersebut.

Pengarah Urusan Felda United FC, Afizal Abu Othman yang pasukannya berada di ambang penyingkiran, menganggap bahawa kehadiran 14 pasukan musim depan dapat menjadikan Liga Super lebih kompetitif.

“Liga Malaysia akan menyaksikan semua pasukan dikomersialkan (setelah pemisahan FA ke FC) musim depan. Semakin banyak pasukan bermain, semakin baik untuk liga.”

Perkara itu juga disokong oleh Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.

“Mempertandingkan 14 pasukan, dari sudut sukan, bermakna lebih banyak perlawanan. Ia juga sangat bergantung pada pasukan mana yang akan naik (dari Liga Perdana). Jika pasukan itu mempunyai ‘fanbase’, maka ia adalah sesuatu yang baik.

“Dengan ini, saya rasa pasukan yang bertanding mempunyai peluang lebih adil untuk mempertahankan kedudukan mereka di Liga Super dengan lebih baik, sebab itu kami menghantar surat sebagai tanda sokongan.”

Setiausaha Agung PJ City FC Ganesh Shanmugam berpandangan disebabkan COVID-19, ia menjejaskan tahap Liga Malaysia pada musim ini.

“Kami menghantar surat ini setelah melihat situasi COVID-19 ini, menyebabkan liga tidak begitu kompetitif.

“Dengan dua pasukan naik ke Liga Super, akan ada 14 pasukan untuk musim depan, mereka layak beraksi di liga teratas.”