Liga Super Malaysia Berita

PDRM denda sampai RM200 jika pemain naik berat badan

Jurulatih PDRM, Ishak Kunju Mohamad berkata pasukannya akan mengenakan denda antara RM100 hingga RM200 kepada pemainnya jika naik berat badan ketika berada di rumah sepanjang perintah kawalan pergerakan.

Ini bagi memastikan pemain mengekalkan tahap kecergasan sebelum liga bersambung semula.

Katanya, barisan kejurulatihan sudah pun merangka latihan khas buat pemain di rumah masing-masing.

“Bentuk hukuman ini bukan bersifat untuk menghukum pemain, tapi sebagai pengajaran dan motivasi kepada mereka agar mampu mengawal dan mengekalkan berat badan ideal,” katanya kepada BH Sukan.

“Begitu juga dengan ujian kecergasan, pemain perlu melepasi tahap kelajuan larian melebihi 20 kilometer sejam, jika kurang penalti juga menanti pemain.

“Walau bagaimanapun saya yakin semua pemain mampu mencapai tahap berkenaan selain mereka sudah bersetuju dengan bentuk hukuman itu.

“Tapi jika mereka kembali dalam kem latihan selepas tempoh kawalan berakhir walaupun berat hanya melebihi 1 kilogram, penalti tetap akan dikenakan sama ada RM100 atau RM200 mengikut mana yang bersesuaian, paling penting pemain hadir dengan berat badannya sama sebelum tempoh kawalan.”