Sama seperti pengadil lelaki, tiga pengadil wanita Liga Malaysia akan dilindungi oleh kod etika dan peraturan pertandingan
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh mendedahkan bahawa tiga pengadil wanita yang bakal mengendalikan perlawanan Liga Super dan Liga Premier pada musim ini dilindungi dengan kod etika dan peraturan pertandingan.
Malah, jika didapati sebarang tindakan kurang sopan adalah sengaja dilakukan, pemain boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Pengadilan untuk hukuman lebih berat termasuk menggantung pemain berkenaan seperti dalam peraturan pertandingan Liga Malaysia.
“Kod etika ini tetap ada kerana ia terkandung dalam peraturan FIFA,” katanya kepada Arena Metro.
“Mungkin akan timbul insiden tak sengaja tapi kalau dikaji (pada video) kita boleh ambil tindakan sivil (mahkamah) juga. Kalau kata dia (pengadil wanita) kena raba, boleh masuk dalam kes sivil, bukan sahaja kena kad merah.
“Kesalahan ini di bawah peraturan seperti sengaja mengeluarkan kata-kata lucah di mana pemain boleh kena kad merah.
“Kemudian bergantung kepada Jawatankuasa Pengadil nak gantung tiga perlawanan atau semusim terus atau seumur hidup.”
Baru-baru ini, FAM mengumumkan tiga pengadil wanita iaitu Rita Gani, Nurul Ain Izatty Zainal dan Nur Akmal Anuar akan mengendalikan perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Perdana musim ini, menjadi tiga wanita pertama yang akan mengendalikan liga bolasepak profesional lelaki.