Santai Piala Dunia 2018

Sebelas pemain terbaik Portugal yang tidak akan beraksi di pentas Piala Dunia 2018

Selepas beberapa negara yang menyertai Piala Dunia 2018, juara Eropah, Portugal, akhirnya memgumumkan 23 nama yang akan memperkuatkan cabaran mereka di Russia nanti.

Sudah pasti nama-nama besar seperti Pepe, Cristiano Ronaldo dan Bernardo Silva berada dalam senarai itu. Bagaimanapun, terdapat beberapa orang pemain berkualiti yang tidak dipanggil oleh pengurus Portugal, Fernando Santos.

Ada antara mereka yang terdiri daripada pasukan yang menjuarai Piala Eropah pada 2016, begitu juga dengan dua pemain muda hebat serta dua orang pemain Barcelona! Kira-kira 11 orang pemain berkualiti yang tidak dipanggil oleh Portugal dan berikut adalah senarai itu.

Luis Nani

Salah seorang pemain paling senior dalam pasukan Portugal ini secara mengejut disingkirkan daripada skuad Piala Dunia. Selepas menjadi tonggak utama ketika Piala Eropah 2016, Nani yang kini memasuki usia 31 tahun terpaksa akur dengan kelibat pemain muda, Goncalo Guedes. Tempoh masa yang sedikit bersama Lazio pada musim 2017/18 menjadi salah satu sebab kepada situasi ini. Bagaimanapun, pengalaman yang dimiliki sudah pasti mampu memberi manfaat kepada Portugal.

Ruben Neves

Impian Neves untuk menyertai skuad Piala Dunia sudah terkubur. Pemain tengah bertahan berusia 21 tahun ini harus menerima kenyataan bahawa dia tidak menjadi pilihan Fernando Santos. Penampilan hebat Neves ketika membawa Wolverhampton Wanderers dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris menerusi enam gol yang semuanya dihasilkan dari luar kotak penalti nyata masih belum cukup.

Sergio Oliveira

Oliveira adalah sebahagian tonggak penting buat pasukan Porto yang menjuarai Liga Portugal pada musim ini. Beraksi selaku pemain tengah bertahan, dia mampu menjadi penghubung yang sempurna diantara barisan depan dan belakang. Walaupun namanya tidak begitu dikenali, pemain berusia 25 tahun ini telah menembusi skuad awal Portugal, namun akhirnya akur dengan nama lain.

Danilo Pereira

Seorang lagi pemain utama Porto yang tidak dapat menyertai Portugal. Berbekalkan kemampuan fizikal serta kebijaksanaan ketika bertahan, Danilo mampu membuatkan pasukan seimbang. Dalam masa sama, dia juga menyertai Selecao das Quinas yang menjuarai Piala Eropah, dua tahun lalu. Malangnya, kecederaan otot yang dialami telah menghalang pemain berusia 26 tahun ini untuk ke Russia.

Rolando

Bek tengah veteran ini menjadi kunci utama kecemerlangan Olympique Marseille yang layak ke final Liga Europa. Malah, dia juga dilihat sebagai pemain tetap di Ligue 1 Perancis. Hebat dalam mengawal dan mendapatkan bola, Rolando begitu ampuh dalam perebutan bola udara. Malangnya, dia tidak mampu menarik perhatian Fernando Santos.

Renato Sanches

Tidak mengejutkan apabila melihat Sanches tidak mampu disenaraikan ke Russia. Dia sememangnya tampil tidak memuaskan bersama Swansea City pada musim ini selepas dipinjamkan oleh Bayern Munich. Selepas tampil hebat di Piala Eropah 2016 dan meraih anugerah Pemain Muda Terbaik dalam kejohanan itu, ketiadaannya di Piala Dunia sudah pasti menyedihkan.

Nelson Semedo

Beraksi untuk pasukan sehebat Barcelona belum pasti menjamin tempat dalam skuad kebangsaan. Cuba tanyakannya kepada Nelson Semedo. Untuk posisi bek kanan, dia gagal menyaingi wakil Southampton, Cedric Soares. Cedric sememangnya lebih banyak beraksi bersama kelab berbanding Semedo. Namun, kualiti Semedo yang memiliki kepantasan serta tahap gelecek yang bagus sudah pasti sukar untuk diketepikan dengan mudah.

Andre Gomes

Gomes menerima nasib sama seperti pemain sebelumnya. Bagaimanapun, tindakan Santos untuk tidak menyenaraikan Gomes itu difahami kerana dia jarang beraksi buat Barcelona. Namun, kualiti pemain tengah berusia 24 tahun ini cukup baik. Sekurang-kurangnya, dia boleh digunakan dari bangku simpanan seperti apa yang dilakukan bersama kelabnya.

Ederzito

Kisah romantic Eder bersama skuad kebangsaan Portugal akhirnya tamat. Wira Selecao das Quinas di Piala Eropah 2016 ini tidak mampu mendapatkan tempat dalam skuad Piala Dunia. Ia disebabkan kekurangan waktu bermain bersama Lokomotiv Moscow walaupun pasukannya menjuarai Liga Russia pada musim ini. Namun, Eder dilihat masih mampu menjadi pilihan serangan yang baik memandangkan Portugal agak kekurangan di bahagian itu.

Rony Lopes

Penampilan AS Monaco pada musim 2017/18 pastinya berbeza berbanding tahun lalu kerana mereka menjuarai Ligue 1 pada musim lepas. Namun, terdapat seorang pemain yang menonjol bersama skuad kendalian Leonardo Jardim, iaitu Rony Lopes, pemain tengah menyerang yang berusia 22 tahun dari Portugal. Dia menjaringkan 13 gol serta lima bantuan jaringan dalam saingan liga. Malangnya, pencapaian itu masih belum mampu membawanya ke Russia.

Joao Cancelo

Sejak dipinjamkan Valencia ke Inter Milan, penampilan Cancelo berubah mendadak. Dia berubah menjadi pemain bek kanan yang sempurna di bawah bimbingan Luciano Spalletti. Tidak kira ketika menyerang atau bertahan, tindakan mengetepikan pemain berusia 23 tahun ini daripada pasukan Portugal dilihat mengejutkan.