Liga Super Malaysia Berita

Tidak dapat bayang Pahang tiada di Liga Super – Azamuddin Akil

Bekas pemain Pahang, Azamuddin Akil tidak dapat membayangkan rasa kehilangan yang bakal dirasai oleh semua penyokong Tok Gajah sekiranya pasukan itu tidak lagi beraksi di pentas Liga Super, musim hadapan.

Selepas dia menyaksikan sendiri kemeriahan yang ditunjukkan oleh penyokong ketika final Piala Malaysia tempoh hari, Azamuddin menyifatkan kelab itu seharusnya tetap komited untuk bertanding di Liga Malaysia

Bahkan, dengan persembahan yang telah ditampilkan oleh seluruh pasukan pada minggu lalu membuktikan semangat juang barisan pemain yang ingin memberikan sesuatu kepada penyokong kesayangan mereka selepas 11 tahun menamatkan penantian untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia.

Justeru, Azamuddin yang pernah berentap di final Piala Malaysia 2014 masih berharap ada sinar untuk skuad Sri Pahang FC ini meneruskan langkah mereka di Liga Malaysia musim hadapan selain percaya pemain ke 12 akan tetap berada di belakang pasukan ini tidak kira dalam situasi apa pun.

“Saya sebenarnya agak terkejut juga apabila melihat pemain-pemain beraksi dengan cukup cemerlang pada malam final itu, sangat baik dan berkualiti.

“Termasuklah juga dari segi semangat yang ditampilkan oleh penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada mereka.

“Justeru, saya rasa tidak wajar untuk kita lihat pasukan Sri Pahang ini menarik diri dalam kancah Liga Malaysia sebab saya percaya mesti ramai peminat bola sepak akan rasa sedih dan kecewa.

“Semua orang tahu Pahang adalah pasukan yang banyak mencipta sejarah tersendiri dan amat rugi jika kita kehilangan pasukan ini dalam liga sebab Pahang juga banyak melahirkan pemain berbakat besar terutamanya untuk mewakili Malaysia.

“Jadi saya harap akan ada sinar untuk pasukan ini terus kekal dalam Liga Malaysia dan pihak pengurusan juga dapat mempertimbangkan kembali apa jua keputusan untuk menarik diri”, jelasnya.

Terdahulu, Sri Pahang terpaksa berpuas hati selaku naib juara Unifi Piala Malaysia apabila tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu lalu dan turut menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-8.