
Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dilantik sebagai Presiden FAM selepas beliau menang tanpa bertanding untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan.
Pelantikan itu dibuat dalam sesi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 telah berlangsung pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61 2025 di Subang Jaya pada Sabtu, 15 Februari 2025.
Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. P. Sivasundaram kekal menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM selepas kedua-duanya menang tanpa bertanding.
Jawatan Naib Presiden FAM menyaksikan penyandang, Datuk Seri Rosmadi Ismail telah menerima undian tertinggi dengan 17 undi, sama jumlah undi dengan muka baharu, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, diikuti seorang lagi muka baharu, Datuk Dollah Salleh dengan 16 undi dan Exco FAM sebelum ini, N. Saaran dengan 13 undi. Seorang lagi calon iaitu Exco FAM sebelum ini, Syed Yazid Syed Omar tidak terpilih selepas hanya mendapat 9 undi.
Dua penyandang jawatan Naib Presiden FAM sebelum ini iaitu Firdaus Mohamed dan Datuk Posa Majais tidak bertanding kali ini.
Bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), dua kerusi yang dikhaskan kepada wanita kekal menjadi milik kedua-dua penyandangnya, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah yang mendapat 15 undi dan Datuk Suraya Yaacob dengan 10 undi, mengatasi cabaran tiga muka baharu iaitu Datuk Dr. Fadilah Sarbi yang mendapat 8 undi, Mimi Afzan Afza yang mendapat 3 undi dan Nur Izwani Azman yang tidak mendapat sebarang undi.
Baki lapan kerusi bagi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang menampilkan seramai 14 orang calon bertanding menyaksikan ia telah dimenangi oleh Datuk Zainal Abidin Hassan (18 undi), Hishamuddin Abdul Karim (17 undi), Datuk Mohd Hisamudin Yahaya (16 undi), Mohd Azizudin Mohd Shariff (16 undi), Tang Chee Hong (11 undi), Datuk Kamarudin Hassan (11 undi), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (11) undi dan Datuk Dr. P. Sugumaran (11 undi).
Hanya seorang penyandang berjaya mengekalkan jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) ini iaitu Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, manakala dua lagi penyandang yang turut bertanding, gagal berada dalam kalangan lapan teratas iaitu Dato’ Adly Shah Ahmad Tah yang mendapat 10 undi dan ACP (B) Md Dali Wahid yang mendapat 2 undi.
Empat lagi calon lain ialah Zulkifli Che Harun mendapat 9 undi, Datuk Seri Afandi Hamzah (6 undi), Zamri Ibrahim (4 undi) dan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya (2 undi).
Tiga penyandang bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) ini tidak bertanding pada pemilihan kali ini iaitu Datuk Jefferey Low Han Chau, Christopher Raj Aralanthu dan Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Seramai 36 orang perwakilan, masing-masing dua orang daripada 18 ahli gabungan FAM telah hadir pada kongres kali ini manakala dua ahli gabungan digantung iaitu Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Bagaimanapun, hanya salah seorang daripada dua perwakilan dari setiap ahli gabungan itu yang boleh mengundi pada sesi pemilihan kali ini menjadikan jumlah keseluruhan 18 orang perwakilan yang mengundi.