Malaysia Berita

Kenali Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Harimau Malaya

Dr. Craig Duncan dilantik sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, salah satu jawatan utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

Duncan merupakan CEO di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana beliau turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.

Selain itu, Duncan merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini yang mana beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.

Beliau juga merupakan Penasihat di Elite Performance Partners sejak dari 2021 hingga kini.

Tugas Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan bertanggungjawab dalam mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi; kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan; pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.

Duncan pernah berkhidmat dengan Sydney FC apabila mereka memenangi kejuaraan Liga-A, dengan Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014, dengan pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018, serta dengan Socceroos apabila mereka muncul juara Piala Asia pada 2015.

Selain itu, Duncan turut menyelia program prestasi tinggi pasukan kebangsaan Iran apabila mereka mara ke separuh akhir Piala Asia 2019.

Di FAM, Duncan telah meletakkan visi bagi mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia untuk sains sukan dan perubatan sukan; membolehkan pasukan senior, junior dan wanita kebangsaan mencapai kejayaan yang berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak di Malaysia.

Duncan mahu mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia; meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.

Dengan semua perancangan ini diharap ianya mampu untuk menyediakan pasukan kebangsaan kita dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal yang terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia.

Duncan akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025.