Malaysia Berita

Senarai skuad Malaysia dalam Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024

Ketua jurulatih negara, Pau Marti Vicente memanggil 26 pemain yang akan mewakili skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 yang akan berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.

Skuad ini menampilkan gabungan seimbang pemain berpengalaman dan muda iaitu dengan 8 pemain berusia 23 tahun ke bawah. Purata umur skuad ialah 25.9 tahun.

Seramai 12 pemain dari skuad 26 pemain ketika menentang Laos dan India pada 14 dan 18 November lalu akan mengetuai skuad kali ini yang menampilkan pemain antaranya Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil. Skuad ini turut menampilkan muka baharu seperti Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Harith Samsuri.

Bagaimanapun, senarai 26 pemain ini masih boleh diubah sebelum pendaftaran akhir 26 pemain untuk kejohanan ini yang perlu dimuktamadkan pada 7 Disember 2024, iaitu sehari sebelum perlawanan pertama.

Jika terdapat perubahan dalam senarai asal di atas kerana terdapat masalah kecederaan atau sebab-sebab lain, ia boleh digantikan dengan mana-mana pemain lain dalam senarai pendaftaran awal 50 pemain yang telah didaftarkan ke AFF sebelum ini untuk pendaftaran akhir pada 7 Disember 2024.

Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 akan menyaksikan Malaysia bersaing dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste. Kumpulan B menampilkan naib juara edisi terdahulu, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos. Dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir.

Skuad Harimau Malaya dijadual melapor diri di Kelana Jaya, Selangor pada Khamis, 5 Disember 2024 sebelum berlepas ke Phnom Penh, Kemboja pada Jumaat, 6 Disember 2024 bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad, 8 Disember 2024.

Mereka seterusnya akan terbang pulang ke tanah air untuk perlawanan kedua menentang Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu, 11 Disember 2024 dan kemudian terbang pula ke Bangkok, Thailand bagi perlawanan ketiga menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu, 14 Disember 2024.

SENARAI PEMAIN

JADUAL PERLAWANAN

Ahad, 8 Disember 2024: Kemboja lwn Malaysia di Stadium Olimpik, Phnom Penh

Rabu, 11 Disember 2024: Malaysia lwn Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil

Sabtu, 14 Disember 2024: Thailand lwn Malaysia di Stadium Rajamangala, Bangkok

Jumaat, 20 Disember 2024: Malaysia lwn Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil