Kelantan mengumumkan penarikan diri pasukan dari Liga A1 Semi-Pro dibawah Pertandingan MBSB Bank Championship 2024.
Ini meskipun Amateur Football League (AFL) bersetuju dan menerima pasukan Kelantan beraksi dalam liga tersebut.
Keputusan ini dibuat setelah beberapa penilaian dan pertimbangan teliti dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan.
“Selepas pertimbangan yang teliti, keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman pasukan seperti menyelesaikan baki gaji pemain musim lepas yang masih tertunggak serta menyelesaikan kes-kes FIFA bagi membersihkan nama baik pasukan Kelantan,” kata Presiden Kelantan, Norizam Tukiman.
“Kami percaya, menyelesaikan kewajipan isu tunggakan gaji adalah penting sebelum memulakan sebarang usaha baru. Oleh itu, dengan hati yang berat tetapi dengan rasa tanggungjawab yang jelas, Kelantan telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan MBSB Bank Championship Musim 2024.
“Kelantan dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kekecewaan yang mungkin timbul kepada pihak AFL dan pihak berkepentingan. Kelantan juga ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada penyokong-penyokong pasukan Kelantan di atas kegagalan pasukan beraksi cemerlang di dalam Liga Super musim 2023 serta tidak menyertai liga pada musim baru ini.
“Tanggungjawab dan niat pasukan adalah untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu dengan segera sebelum Kelantan kembali menyertai liga bola sepak pada masa hadapan dalam keadaan yang lebih baik.
“Ucapan jutaan terima kasih kepada semua penyokong atas sokongan yang telah diberikan sepanjang musim 2020, 2021, 2022 dan 2023. Setiap sokongan anda amatlah kami hargai.”
Kelantan berkata, pihaknya komited untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit dan akan membawa semula pasukan Kelantan dalam liga pada musim akan datang.