Badan bebas First Instance Body (FIB) membuat keputusan tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Perlis United.
Ini berikutan kegagalan memenuhi syarat-syarat tambahan selepas pengumuman berkenaan keputusan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) M3 Amateur Football League (AFL) pada 7 Mac 2024.
Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac 2024 masih belum berakhir, FIB mengesahkan bahawa Perlis United telah gagal 3 daripada 4 syarat awal dengan tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan telah melanggar semua tarikh akhir yang diberikan,” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.
“Oleh itu, FIB telah memutuskan untuk tidak memberikan lesen Liga Super 2024-2025 kepada Perlis United.”
Katanya, FIB mengekalkan syarat ketatnya demi untuk menjaga kestabilan kewangan liga dan kelab-kelab serta proses usaha wajar kewangan ini dilaksanakan dengan teliti untuk memastikan Liga Malaysia tidak menghadapi kebimbangan kewangan sekiranya PUFC dibenarkan bertanding.
Kegagalan Perlis United untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan tersebut menyaksikan hanya 13 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super bagi musim 2024-2025.