Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang tidak bersetuju dengan cadangan untuk menggunakan rumput Zeon Zoysia di stadium masing-masing sebaliknya mahu mengekalkan rumput sedia ada.
Ini setelah Kementerian Belia dan Sukan mencadangkan supaya stadium di semua negeri mempertimbangkan penggunaan rumput Zeon Zoysia atau setaraf dengannya, susulan penggunaannya di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena Pestabola Merdeka 2023.
Namun penggunaan rumput tertakluk kepada kerajaan negeri kerana mereka perlu mengkaji dan meneliti dahulu dari segi kos dan penyelenggaraan jangka panjang bagi penanaman rumput tersebut.
“Sehingga kini hanya Sarawak yang menyatakan persetujuan untuk menggunakan rumput Zeon Zoysia, negeri-negeri yang tidak bersetuju adalah Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang yang mahu mengekalkan penggunaan rumput sedia ada,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
“Manakala negeri-negeri lain pula masih memerlukan lanjutan masa untuk membuat keputusan sehingga mereka betul-betul yakin bahwa kos dan penyelenggaraan tidak membebankan jangka masa panjang.”
Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) sama ada kerajaan akan mengguna pakai padang jenis Zeon Zoysia di stadium lain selain Stadium Nasional Bukit Jalil memandangkan kualiti padang tersebut terbukti berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa.
Jelas Hannah, kerajaan menawarkan rumput tersebut kepada setiap kerajaan negeri dengan memilih satu stadum untuk menerima sumbangan rumput Zeon Zoysia.
Katanya, tawaran ini had untuk rumput, tetapi naik taraf stadium masing-masing perlu ditanggung kerajaan negeri kerana setiap stadium yang dipilih mempunyai keadaan status berbeza
“Saya bagi contoh, negeri A mereka hanya perlu naik taraf sistem saliran, negeri B mungkin perlu naik taraf soil (tanah), oleh sebab itu tawaran kita berikan untuk kos rumput sahaja.
“Mereka (negeri-negeri) tidak kata mereka tidak berminat, kebanyakan negeri kata mereka nak tunggu dulu untuk kaji dari segi kos penyelenggaran setiap bulan sama ada kerajaan negeri mampu atau tidak untuk teruskan projek tersebut.”