Inter Miami menewaskan Nashville dalam perlawanan akhir Piala Liga yang dramatik selepas seri 1-1 diselesaikan menerusi penentuan penalti maraton 10-9.
Lionel Messi mengekalkan rentak kemenangannya sejak menyertai pasukan MLS itu kepada tujuh perlawanan.
Messi membuka jaringan pada minit ke-23, menjaringkan gol ke-10 pada kejohanan sulung itu dengan rembatan dari jarak jauh melepasi beberapa pemain pertahanan dan ke sudut kiri atas jaring.
Fafa Picault dari Nashville menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-57 dan kedua-dua pasukan hampir mendahului pada separuh masa kedua namun kekal seri hingga tamat 90 minit perlawanan.
Dalam penentuan sepakan penalti, penjaga gol Nashville, Elliot Panicco gagal menyempurnakan sepakan terakhir sekali gus menghadiahkan Inter Miami, yang menyertai liga pada 2020, trofi pertama mereka dalam sejarah.
Rakan sepasukan Messi melambungkan pemain Argentina itu ke udara yang turut diraikan bersama pemilik Miami, David Beckham.
“Ia adalah satu penghormatan besar untuk memainkan peranan dalam kemenangan pertama kami di final,” kata penjaga gol Miami dan pemain terbaik perlawanan Drake Callender, yang menyelamatkan dua gol dalam penentuan sepakan penalti dan menyempurnakan penaltinya sendiri.
“Ia agak luar biasa dan sangat beremosi. Pasukan ini bekerja keras hari demi hari, dan untuk memastikannya sampai ke penghujungnya… sungguh mengagumkan untuk melihat ketabahan dan kepercayaan. Ia sesuatu yang istimewa dan saya diberkati untuk menjadi sebahagian daripadanya.”
Miami mempunyai rekod terburuk dalam MLS musim ini, tetapi ketibaan Messi telah mencetuskan ledakan serangan apabila menjaringkan 22 gol dalam tujuh perlawanan terakhir mereka.
Trofi itu adalah trofi ke-44 Messi, yang paling banyak oleh mana-mana pemain. Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu dinamakan pemain kejohanan itu.
“Ia adalah perlawanan yang sengit untuk kedua-dua pasukan, dua-dua boleh memenanginya,” kata ketua jurulatih Miami, Gerardo Martino.
“Ia berakhir dengan seri dan saya fikir seri adalah adil. Dan jelas sekali ia berakhir dengan sepakan penalti, yang memerlukan banyak ketenangan, kapasiti hebat daripada penjaga gol, dan kami memenangi perlawanan.”
Kelab Miami yang melantik Martino sebagai jurulatih bulan lalu dan menandatangani bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, Jordi Alba dan Sergio Busquets, juga telah memperoleh tempat Liga Juara-Juara CONCACAF hasil kejuaraan Piala Liga.
“Kami tidak bermain dengan baik sebelum ini dan kami terpaksa menggabungkan ramai pemain baharu,” kata Martino.
“Tapi saya sangat kagum dengan cara kami bekerjasama.”