Liga Super Malaysia Berita

Hanya daftar 3 pemain import, Negeri Sembilan utamakan pemain tempatan

Minggu lalu, Negeri Sembilan membuat keputusan mengejutkan apabila hanya mendaftar 3 pemain import musim berbanding 5 pemain import musim lalu.

3 pemain itu terdiri daripada pemain pertahanan dari Perancis, Herold Goulon, penyerang dari Chad, Ezechiel N’douasel dan seorang lagi pemain tengah yang akan diumumkan kelak.

“Jika kita melihat persiapan pasukan lain, sememangnya ada kalangan mereka yang mengambil jumlah pemain import maksimum, sampai 8 atau 9 orang,” kata jurulatih Negeri Sembilan, K Devan kepada BH.

“Tapi kita akan buat persiapan berdasarkan jumlah pemain import yang kita ada.

“Setakat ini kelulusan yang diberikan pihak pengurusan kelab iaitu hanya menggunakan 3 import dan sudah tentu persiapan kita akan dibuat mengikut posisi taktikal pasukan.”

Beliau bagaimanapun mengakui perancangannya berubah kerana perlu mengutamakan pemain tempatan.

“Mungkin persiapan kita akan terganggu sedikit kerana tidak sama dengan perancangan awal. Bagaimanapun kita akan mengikut maksimum pemain import yang dibenarkan dan saya akan buat yang terbaik untuk pasukan musim ini.

“Jadi, jika kita hanya ada tiga pemain import, kita kena guna pemain tempatan untuk menggalas tugas di posisi tertentu. Semuanya itu ada dalam persiapan taktikal kita, malah ini keputusan pengurusan kelab dan saya perlu akur, tapi akan buat yang terbaik untuk Negeri Sembilan.”

Musim lalu, Negeri Sembilan dibarisi 5 pemain import iaitu Herold Goulon, Omid Nazari, Matheus Alves, David Mawutor dan Kossi Adetu.

Bagaimanapun, David Mawutor dan Kossi Adetu dilepaskan pada pertengahan musim dan tempat mereka digantikan oleh Gustavo dan Yashir Pinto.

Gustavo merupakan penjaring terbanyak dengan 11 gol, membantu Negeri Sembilan menamatkan saingan liga di tangga ke-4.