Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia musim 2023 berakhir pada bulan Disember

Liga Malaysia musim 2023 akan bermula pada 24 Februari dan berakhir pada 17 Disember.

Ini berbeza dengan tahun lalu apabila Liga Malaysia bermula pada Mac dan Piala Malaysia berakhir pada bulan November.

Ini bermakna, kontrak pemain Liga Malaysia kini hingga hujung Disember.

“Dalam bengkel bersama CEO pasukan pada September tahun lalu, kita sudah maklumkan bahawa jadual 2023 akan berakhir pada bulan Disember,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.

“Kelemahan yang kita kenal pasti dalam tahun-tahun lalu adalah apabila pemain tidak dapat bermain hingga hujung musim kerana tewas awal dalam kejohanan, di situ mereka tidak bermain antara September dan Oktober.

“Untuk memastikan kalendar penuh bagi setiap pasukan, kalendar berakhir pada bulan Disember..ini kelainan sedikit apabila Piala Malaysia bermula pertengahan musim dan bukan tunggu hujung musim.

“Ini impak AFC yang menukar kalendarnya, sebelum ini hujung musim bermula saingan piala Malaysia dan ini akan mewujudkan kekeliruan dalam kalendar.

Jadi, bulan Disember final Piala Malaysia diadakan sebelum perlawanan terakhir Liga Super.

“Memang biasanya final Piala Malaysia perlawanan penutup tirai musim tetapi 13 Disember adalah perlawanan peringkat kumpulan terakhir bagi AFC Champions League.

“Di sini kita perlu pertimbang perjalanan pasukan kebarangkalian akan sampai ke final, kita perlu berlaku adil kepada pasukan terlibat.

“Walaupun liga berakhir hujung bulan Disember, Piala Asia bermula awal Januari 2024 dan kita perlu memberi ruang kepada skuad kebangsaan berlatih sebelum kejohanan yang amat penting.

“Agenda nasional menjadi keutamaan di hujung musim.”

Bagi musim ini, Piala Sumbangsih antara JDT lawan Terengganu akan diadakan pada 24 Februari, dengan pasukan lain akan serentak pada hari yang sama.

Namun, Liga Super akan berakhir pada 17 Disember, lebih lewat berbanding Piala Malaysia.

Piala Malaysia akan bermula pada bulan Ogos dan final diadakan pada 9 Disember.

Piala MFL atau liga simpanan akan bermula pada 2 Mac dan berakhir pada 5 November.

Piala FA pula bermula bulan Mac dan final pada 22 Julai.

Piala Cabaran atau Challenge Cup akan diadakan pada bulan September hingga Disember.