Hector Bidoglio dilantik sebagai ketua jurulatih JDT berkuat kuasa serta merta.
Ini sekali gus menyaksikan beliau adalah ketua jurulatih yang ke-10 dalam sejarah JDT.
Jurulatih yang berasal dari Rosario, Argentina berusia 54 tahun itu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Benjamin Mora yang meletakkan jawatan untuk pulang ke negara asalnya, Mexico.
Hector memulakan karier profesional sebagai pemain tengah bersama kelab Argentina, Newell’s Old Boys pada 1992 sebelum berpindah randah ke pasukan lain.
Pada 1999, Hector membuat keputusan untuk mewakili skuad kebangsaan Venezuela dan turut beraksi dalam Copa America sebelum tersingkir awal, selepas tewas 3 perlawanan berturut-turut, termasuklah kalah 7-0 kepada Brazil, hasil jaringan Ronaldo, Ronaldinho dan Rivaldo.
Beliau kemudian menyertai 7 lagi kelab dalam tempoh 8 tahun sebelum menggantung but pada 2008.
Sebelum menjadi jurulatih, beliau pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis.
Beliau juga telah berguru dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.
Pada 2013, Hector dilantik sebagai penolong jurulatih Newell’s Old Boys sehingga 2016.
Selepas hanya setahun di kelab Argentina, Colon, beliau kembali ke Newell’s sebagai ketua jurulatih pada 2018.
Pada 2019, beliau dilantik sebagai jurulatih kelab Peru, Universidad San Martin sebelum berhijrah ke Ecuador sebagai jurulatih kelab Aucas pada tahun lalu.
Kini, beliau akan mengendalikan JDT yang sedang dalam prestasi terbaik setelah mencatatkan 10 kemenangan dan 2 seri tanpa sebarang kekalahan sekali gus meraih 32 mata dalam Liga Super setakat ini.