Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengucapkan tahniah kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah dan Kuala Lumpur City atas kejayaan mereka dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baru-baru ini.
Ini setelah JDT berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 akhir AFC Champions League serta kemaraan Kedah dan KL City dalam separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.
“Pastinya pencapaian JDT, KDA FC dan KL City ini sesuatu yang membanggakan di pentas antarabangsa,” kata Ghani dalam kenyataan.
“Ini sekali gus membuktikan kualiti yang dimiliki mereka untuk bersaing dengan kelab-kelab ternama di luar negara.
“Ini bukan sahaja dapat mengharumkan nama negara malah menaikkan profil Liga Malaysia di mana kemenangan yang diraih dalam saingan ACL dan Piala AFC akan menyumbang mata Malaysia bagi ranking pertandingan kelab AFC.”
Beliau turut menghargai komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan ketiga-tiga pasukan itu dalam menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.
“Kami doakan agar kejayaan akan terus mengiringi mereka di peringkat seterusnya.
“Semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada kelab-kelab Liga Malaysia yang lain untuk memburu kejayaan sekali gus menyemarakkan lagi saingan Liga Malaysia musim ini dan juga musim-musim seterusnya.”
JDT melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama negara layak ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas muncul juara Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia mengatasi kelab-kelab gergasi rantau Asia.
Kejayaan itu diteruskan oleh dua lagi wakil negara Kedah dan KL City FC yang mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.
Kedah muncul juara Kumpulan G di Bali, Indonesia untuk meneruskan cabaran manakala KL City memanfaatkan sepenuhnya aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk merebut slot separuh akhir Zon ASEAN selaku naib juara Kumpulan H.