Malaysia Berita

Syahmi Safari tinggalkan skuad kebangsaan, tiada pemain baharu dipanggil

Skuad kebangsaan membuat keputusan untuk melepaskan Syahmi Safari dari kem latihan pusat kerana masalah kesihatan.

Ini bermakna beliau tidak akan menyertai Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, 8 hingga 14 Jun ini.

“Keputusan ini terpaksa dibuat selepas Syahmi yang dibawa ke hospital untuk ujian perubatan, pagi tadi kerana masalah sinus dialaminya semakin teruk,” kata ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.

“Kami telah mendapat nasihat daripada doktor pakar untuk beliau menjalani rawatan susulan dalam kadar segera.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Syahmi daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.”

Dengan ketiadaan Syahmi, baki 29 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat termasuk bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong.

Oleh itu, tiada penambahan pemain baharu buat masa ini.