Malaysia Berita

Malaysia hampir layak separuh akhir Piala AFF B23, selepas Indonesia dan Myanmar tarik diri

Malaysia hampir pasti layak ke peringkat separuh akhir AFF B23 2022, selepas Myanmar membuat kejutan apabila menarik diri daripada kejohanan itu.

Malaysia sepatutnya beraksi menentang Myanmar dalam perlawanan pembukaan saingan Kumpulan B di Stadium Prince di Phnom Penh, Kemboja hari ini.

Namun, Myanmar menarik diri di saat akhir daripada kejohanan berikutan penularan COVID-19 dalam kalangan pemain pasukan berkenaan.

Penarikan diri itu menyebabkan perlawanan itu terpaksa dibatalkan serta-merta.

“Ia merupakan suatu perkara yang mengecewakan apabila Myanmar terpaksa menarik diri daripada kejohanan,” kata Presiden AFF Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam kenyataan.

“Kami faham bahawa pasukan tidak sabar untuk memulakan saingan dan peminat juga ternanti-nanti untuk menonton pasukan itu dalam perlawanan.

“Bagaimanapun, kesihatan dan keselamatan semua yang terlibat adalah diutamakan dan kami amat memahami keputusan yang telah diambil. Kami doakan semua pemain dan pegawai cepat sembuh.”

Ia sekali gus menyaksikan saingan Kumpulan B kini hanya melibatkan Malaysia dan Laos.

Kedua-dua pasukan dijadual bertemu di Stadium Prince pada 18 Feb ini bagi menentukan juara kumpulan sekali gus automatik layak ke peringkat separuh akhir.

Myanmar menjadi pasukan kedua menarik diri daripada kejohanan itu selepas juara bertahan Indonesia yang turut diundi dalam Kumpulan B bertindak menarik diri pada minggu lalu, susulan tujuh pemain dan seorang pegawai pasukan disahkan positif COVID-19.