Selepas lima tahun beraksi sebagai pemain import di Liga Malaysia, Lee Tuck dan Sergio Aguero akan beraksi buat pertama kali bersama Pahang musim ini sebagai pemain naturalisasi.
Ini selepas kedua-dua pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan Pahang dan mendapat kelulusan daripada FAM.
Sebelum ini, FAM membuat keputusan untuk menangguhkan sementara program naturalisasi pemain skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, pasukan Liga Malaysia masih dibenarkan meneruskan pengambilan pemain naturalisasi seperti mana dilakukan pasukan Pahang mendaftarkan Mohamadou Sumareh sebagai pemain naturalisasi pada 2018.
“Kehadiran mereka boleh dikatakan tidak dibekukan,” kata Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar kepada Astro Arena.
“Tetapi (keperluan menggunakan) khidmat pemain naturalisasi terpulang kepada jurulatih negara.”
Lee Tuck yang akan memasuki usia 34 tahun, berasal dari Halifax, England.
Beliau mula beraksi di Liga Malaysia bersama Negeri Sembilan pada 2017 namun menempa nama di Terengganu pada 2018 sebelum menyertai Pahang tahun lalu.
Beliau pernah mendakwa layak mewakili negara menerusi pertalian darah nenek sebelah ibunya, namun sehingga kini beliau tidak dapat mengesahkan perkara tersebut.
Sergio Ezequiel Aguero pula mula beraksi di Liga Malaysia bersama Melaka United pada 2017.
Penyerang berusia 27 tahun itu berasal dari Chamical, La Rioja, Argentina.
Namun, beliau berhijrah ke pasukan berbeza setiap tahun, apabila menyertai Selangor United (2018), Pulau Pinang (2019), KL Rovers (2020) dan Pahang tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak beraksi dengan Pahang musim lalu apabila dipinjamkan ke Perak dan Perak II.
Status naturalisasi Lee Tuck dan Aguero membolehkan Pahang mendaftarkan pemain import lain iaitu Johan Martial (Perancis), Mamadou Samassa (Mali), Billy Ketkeophomphone (Laos), Mahmoud Za’tara (Jordan) dan Manuel Hidalgo (Argentina).