Eropah Berita

Christiano Ronaldo sah mahu tinggalkan Juventus, sedang berunding dengan Man City

Christiano Ronaldo akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Juventus, setelah lebih tiga tahun bersama kelab gergasi Itali itu.

Penyerang berusia 36 tahun itu pada mulanya menafikan di akaun Instagram miliknya bahawa beliau mahu menyertai Real Madrid.

Namun, Real Madrid hanya berminat untuk mendapatkan Kylian Mbappe, menyebabkan Ronaldo perlu mencari kelab lain yang berminat dengan beliau.

Beliau juga dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain, namun kelab gergasi Perancis itu yang baru sahaja menandatangani Lionel Messi tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Juventus juga pada mulanya tidak berhasrat untuk melepaskan Ronaldo, namun pendirian itu berubah setelah pertemuan diadakan dengan ejennya, Jorge Mendes.

Lembaga pengarah Juventus memberitahu Mendes bahawa mereka bersedia melepaskan Ronaldo tetapi bukan secara percuma, sebaliknya perpindahan ke mana-mana kelab perlu melibatkan yuran perpindahan antara €28 ke 30 juta euro.

Mendes kemudian dilaporkan telah pun memulakan rundingan dengan Man City berhubung kontrak dan segala terma peribadi, namun juara bertahan Premier League itu masih belum menyatakan sama ada akan membayar yuran perpindahan Ronaldo.

 

Man City kemungkinan besar perlu menjual pemain sekiranya mahu membayar yuran perpindahan kepada Juventus.

Jika menjadi kenyataan, Ronaldo akan kembali beraksi dalam Premier League buat pertama kali sejak 2009, musim terakhir beliau bersama Man United sebelum berhijrah ke Real Madrid dengan yuran perpindahan paling mahal di dunia ketika itu iaitu 94 juta euro.

Ronaldo beraksi bersama Real selama 9 musim, dengan memenangi La Liga dua kali dan Champions League sebanyak 4 kali.

Pada 2018, beliau membuat kejutan apabila berhijrah ke Juventus dengan yuran perpindahan €100 juta euro, memenangi Serie A dua kali dan memenangi trofi Coppa Italia.