Bulan Jun tahun ini bakal menjadi bulan kembalinya skuad kebangsaan beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas lebih setahun tertunda ekoran pandemik Covid-19.
AFC telah mengumumkan secara rasmi tarikh untuk baki perlawanan melibatkan pertemuan Malaysia dengan Vietnam, UAE dan Thailand.
Malaysia akan bertemu UAE pada Khamis, 3 Jun, diikuti dengan Vietnam pada hari Jumaat, 11 Jun manakala perlawanan terakhir menentang Thailand akan diadakan pada hari Selasa, 15 Jun.
Bagaimanapun, gelanggang rasmi untuk ketiga-tiga perlawanan itu masih belum diumumkan dan akan dimaklumkan oleh AFC dalam masa terdekat.
Jika mengikut jadual asal, Malaysia sepatutnya bertemu UAE di Abu Dhabi, Vietnam di Bukit Jalil dan Thailand di Bangkok.
MFL sudah pun mengosongkan jadual Liga Malaysia pada bulan Jun bagi memberi laluan kepada Harimau Malaya beraksi.
Perlawanan terakhir bagi bulan Mei adalah 21 dan 22 Mei, dengan Liga Malaysia bersambung semula pada 2 Julai.