Mohamadou Sumareh akhirnya diperkenalkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta’zim bagi musim 2021.
Ia adalah perpindahan yang dinanti-nantikan peminat setelah berbulan-bulan Sumareh dikaitkan dengan perpindahan ke selatan tanah air.
Pemain naturalisasi Malaysia berusia 26 tahun itu baru sahaja tiba di Malaysia selepas hanya empat bulan beraksi dengan kelab Thailand, Police Tero FC.
Bagaimanapun, perpindahan ke JDT adalah satu perkembangan positif buat Sumareh setelah beberapa bulan terpalit dengan kontroversi tunggakan gaji dengan Pahang.
Beliau yang melaporkan perkara itu kepada FIFA akhirnya menemui kemenangan apabila badan bola sepak dunia mengarahkan Pahang membayar AS$1.2 juta kepadanya dalam tempoh 45 hari.
Di JDT, Sumareh akan memperbanyakkan lagi pilihan Benjamin Mora di bahagian sayap yang sudah pun mempunyai beberapa pemain berbisa seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah.