Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkuat kuasa hari ini selepas dua tahun memegang jawatan tersebut.
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, keputusan itu dibuat kerana sukar bagi beliau mendapatkan tajaan sama ada daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta selepas tidak lagi memegang jawatan tertinggi kerajaan.
“Penting bagi para pemain dan pegawai untuk mendapatkan sumbangan daripada pihak kerajaan negeri serta GLC untuk mereka meneruskan kehidupan dan menyara keluarga,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Faizal juga mendedahkan gaji pemain Perak tidak dibayar sejak tiga bulan lalu.
“Bayaran gaji para pemain serta pegawai telah tertunggak sejak pertengahan November 2020 hingga kini yang melibatkan kos hampir RM2 juta setiap bulan.”
Faizal berkata beliau pada asalnya mahu melepaskan jawatan ketika kongres PAFA bulan depan, namun membuat keputusan itu dengan lebih awal.
“Saya membuat keputusan untuk lepas jawatan secepat mungkin kerana khuatir para pemain akan berhijrah ke pasukan lain sekiranya pembayaran gaji tidak dibuat dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Faizal berkata isu penswastaan kelab Perak FC, logo, jersi serta kontrak pemain sudah diselesaikan.
Selain itu, Datuk Adly Shah Ahmad Tah turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAFA dan pengurus pasukan.
“Keputusan ini dibuat atas dasar tanggungjawab, tiada guna ada jawatan tetapi tidak boleh membangunkan pasukan.”
Di bawah pengurusan Faizal dan Adly, Perak menamatkan saingan Liga Super musim 2018 di tangga kedua, memenangi Piala Malaysia 2018, naib juara Piala Sumbangsih 2019 dan naib juara Piala FA 2019.